Pegawai Luar Bandar Sahabat Alam Malaysia (SAM), Zulkifli Yusuf (tengah) bersama-sama ahli SAM lain ketika membantah projek tambakan laut oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang di perairan berhampiran Queensbay, Bayan Baru, Pulau Pinang.

PULAU PINANG – Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak Kerajaan Pusat bertegas dan tidak meluluskan projek tambak laut baharu yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang di negeri ini.

Pegawai Luar Bandar SAM, Zulkifli Yusuf berkata, projek tambak laut itu terbukti memberi impak serius kepada ekosistem persisiran pantai dan marin serta sektor perikanan di negeri ini sekali gus menjejaskan kira-kira 4,000 nelayan pantai.

Menurut beliau, walaupun banyak bantahan dibuat pihaknya serta nelayan terlibat, namun sehingga kini tiada jaminan kukuh daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang yang mana projek tersebut tidak mengancam alam sekitar dan kehidupan masyarakat nelayan.

“Banyak aduan dan rungutan yang kami terima daripada nelayan mengenai kemerosotan hasil tangkapan mereka ekoran projek tambak laut yang dilaksanakan di beberapa kawasan di negeri ini.

“Laut tempat mereka mencari rezeki tercemar manakala zon tangkapan bertambah sempit menyebabkan sumber perikanan kian pupus dan hasil tangkapan pula merosot teruk sehingga mencecah 70 peratus setiap kali turun ke laut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, nelayan juga berdepan masalah sisa lumpur dari kawasan penambakan yang bukan sahaja mencemarkan air di kawasan pantai, malah turut memusnahkan pukat mereka.

Ujar beliau, antara kawasan yang terjejas akibat pelaksanaan projek tambak laut itu adalah di Tanjong Tokong, Sungai Gelugor, Batu Uban, Persiaran Gurney dan Queensbay.

Tambahnya, ancaman lebih buruk mungkin berlaku ke atas persekitaran pantai serta marin dan kehidupan nelayan di negeri ini jika kerajaan negeri tetap meneruskan rancangan projek tambak laut membabitkan keluasan lebih 1,800 hektar di perairan selatan negeri ini. – MalaysiaGazette

Comments are closed.