Home Dunia Serangan Korea Utara boleh bunuh 2.1 juta orang

Serangan Korea Utara boleh bunuh 2.1 juta orang

TOKYO – Negara-negara jiran Korea Utara akan mengalami kesan buruk jika berlaku peperangan di negara itu.

Kajian terbaharu yang diterbitkan di laman sesawang 38 North berkata, sekiranya Kim Jong-Un melancarkan serangan nuklear ke Seoul dan Tokyo – sebanyak 2.1 juta orang boleh mati dan 7.7 juta lagi dijangka mengalami kecederaan, menurut laporan itu.

Analisis itu dilakukan oleh Michael J. Zagurek Jr, seorang perunding yang khusus dalam pangkalan data dan pemodelan komputer, berdasarkan teknologi semasa senjata Korea Utara dan kekuatan bom.

Zagurek mengandaikan Jong-un mempunyai cabang senjata 20-25 peluru dan kapasiti untuk meletakkannya pada peluru berpandu balistik.

Kebimbangan mengenai konflik nuklear di Asia Utara telah meningkat memandangkan Jong-un mempercepatkan program senjata untuk memperoleh senjata yang mampu membedil Amerika Syarikat.

Walaupun kemungkinan serangan langsung terhadap sekutu Amerika Syarikat seperti Jepun dan Korea Selatan tetap tipis, Zagurek berkata, sejarah penuh dengan salah perhitungan oleh “pelaku rasional” semasa situasi krisis.

Pada bulan lalu, Menteri Luar Korea Utara berkata, kemungkinan negara itu akan melakukan ujian bom hidrogen di Lautan Pasifik.

Kepala peluru yang lebih lama di Korea mempunyai kuasa 15-25 kiloton, sekitar saiz bom yang menghancurkan Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945.

Anggaran kematian meningkat dengan ketara jika Korea Utara menyerang dengan bom yang serupa ketika ujian dijalankan pada 3 September lalu , yang kemungkinan berkadar 108-205 kiloton, kata Zagurek. – MalaysiaGazette