KUALA LUMPUR – Penggunaan beg plastik konvensional yang berleluasa sememangnya membawa kepada banyak kesan negatif malah mengancam kehidupan yang wujud di seluruh planet ini.
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) berkata, sehingga kajian yang dibuat pihaknya menunjukkan rakyat Malaysia menghasilkan lebih dari 19,000 tan sisa pepejal setiap tahun dan 24 peratus daripadanya adalah plastik.
Jelasnya, sudah tiba untuk masyarakat mencari jalan yang terbaik dalam mengurangkan penggunaan beg plastik konvensional dalam kalangan masyarakat di negara ini terutamanya di bandar-bandar utama.
“Terdapat cadangan-cadangan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik seperti menggunakan produk bahan biodegradasi yang lebih selamat dan mudah dikompos berbanding dengan plastik konvensional.
“Selain itu, membawa bekas makanan dan minuman sendiri dari rumah apabila hendak bawa pulang makanan dari kedai makan dan membawa beg kitar semula, beg mesra alam ketika membeli belah.
“Pada masa sama, orang ramai boleh mengelakkan membeli atau menerima beg plastik konvensional yang dijual di mana-mana premis perniagaan dan menggalakkan penggunaan produk biodegradasi di kalangan masyarakat dan komuniti serta di pusat tumpuan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
JPSPN menambah, jika dilihat dari sudut ekonomi, proses kitar semula beg plastik tidak mendatangkan keuntungan kerana kos kitar semula bagi setiap tan plastik adalah sekitar RM12,000 dan hasilnya sekadar RM130 dalam pasaran komoditi.
“Untuk menghasilkan beg plastik pula, setiap tahun 12 juta tong minyak diperlukan dan ia kini memberi kesan sekiranya berlaku krisis minyak seluruh dunia.
Jadi, satu-satunya kaedah paling berkesan sebagai langkah penyelesaian ialah mengurangkan penggunaan beg plastik dan beralih kepada penggunaan produk biodegradasi.
“Penggunaan produk biodegradasi yang ternyata lebih selamat, mesra alam dan mudah terurai akan memberikan lebih banyak impak positif terhadap perkembangan persekitaran yang mampan dan lestari di samping mewujudkan masyarakat yang sihat dan sejahtera,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette