Home Ekonomi OPEC perlu langkah luar biasa imbangi pasaran minyak

OPEC perlu langkah luar biasa imbangi pasaran minyak

NEW DELHI – Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan pengeluar minyak lain mungkin perlu mengambil langkah “luar biasa” pada tahun depan untuk mengimbangi pasaran minyak, kata Setiausaha Agung OPEC.

“Terdapat kesepakatan yang semakin meningkat bahawa … proses pengimbangan semula sedang berjalan. Kami secara beransur-ansur tetapi terus mencapai objektif umum,” kata Mohammad Barkindo kepada pemberita di Forum Tenaga India yang dianjurkan oleh CERAWeek di New Delhi.

“Untuk mempertahankannya ke tahun depan, beberapa langkah luar biasa mungkin perlu diambil untuk memulihkan kestabilan ini secara berterusan,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Arab Saudi dan Rusia membantu menjamin kesepakatan antara OPEC dan 10 pengeluar lain untuk mengurangkan pengeluaran kira-kira 1.8 juta tong sehari sehingga akhir bulan Mac 2018 dalam usaha untuk menstabilkan harga.

Barkindo berkata, rundingan sedang dijalankan untuk melanjutkan pakatan OPEC yang diterajui di melepasi bulan Mac 2018 dan lebih banyak negara pengeluar minyak boleh menyertai pakatan pembekalan, mungkin pada mesyuarat OPEC di Vienna yang dijadualkan pada 30 November.

Nigeria dan Libya, yang dikecualikan daripada perjanjian itu, “sedang membuat kemajuan ke arah pemulihan penuh” pengeluaran dan selepas itu mereka juga boleh menyertai perjanjian yang diketuai OPEC.

Niaga hadapan minyak jatuh lebih daripada 2.0 peratus pada hari Jumaat, mengakhiri kenaikan jangka panjang Brent alam tempoh 16 bulan berikutan kebimbangan lebihan bekalan selepas pengeluar-pengeluar memulakan aktiviti penggerudian.

Tetapi Barkindo tidak bimbang dengan kenaikan minyak dan pengeluaran di Amerika Syarikat.

“Ia merupakan pasaran yang besar dan permintaannya sangat kuat. Antara separuh pertama dan separuh kedua tahun ini, pertumbuhan permintaan hampir dua juta tong, ia sangat teguh. Jadi semua orang mempunyai peranan masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast