SEOUL – Korea Utara dipercayai sedang bersiap sedia untuk melancarkan peluru berpandu menjelang latihan bersama ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan yang dijadual minggu depan, menurut laporan berita.
Latihan ketenteraan itu merupakan satu tindakan balas ekoran beberapa siri pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara.
Akhbar Donga Ilbo, yang memetik sumber kerajaan sebagai berkata memaklumkan, gambar satelit menunjukkan peluru berpandu balistik dipasang pada pelancar yang diangkut dari hangar berhampiran Pyongyang dan di Wilayah Utara Phyongan.
Pegawai tentera Amerika Syarikat dan Korea Selatan mengesyaki Korea Utara mungkin bersiap untuk melancarkan peluru berpandu yang mampu mencapai Guam, kata akhbar itu.
Kemungkinan besar ia adalah peluru berpandu balistik Hwasong-14 yang boleh mencapai jarak ke Alaska atau Hwasong-12 jarak sederhana yang mampu membedil Guam.
Kemungkinan lain ialah Korea Utara mungkin sedang bersedia untuk menguji ICBM Hwasong-13 baharu – yang mempunyai jarak maksimum lebih jauh daripada dua peluru berpandu yang berpotensi mencapai Pantai Barat Amerika Syarikat.
Jurucakap Kementerian Pertahanan enggan memberi komen mengenai laporan itu, dengan berkata: “Kami tidak memberi komen mengenai sebarang perisikan ketenteraan. Kami sedang memerhatikan Korea Utara,” katanya. – MalaysiaGazette