Sebahagian daripada bangunan gred A yang terletak di central Hong Kong. foto SCMP

HONG KONG – Harga ruang pejabat mewah Hong Kong terus melonjak berikutan permintaan kukuh dalam kalangan syarikat-syarikat China.

Menurut data suku pertama tahun ini, pejabat Gred A di Hong Kong melonjak 2.9 peratus mulai awal tahun sehingga September – kenaikan tertinggi dalam tempoh sedekad, menurut Indeks Sewa Pejabat Gred A.

Central Hong Kong kekal sebagai sewa pejabat paling mahal di dunia, diikuti di Finance Street di Beijing dan West Kowloon (Hong Kong) dan Midtown Manhattan (New York).

Purata sewa bulanan bagi ruang pejabat gred A ialah HK$71.3 kaki persegi pada awal Oktober.

Ruang pejabat gred A menawarkan kawasan seluas sekurang-kurangnya 4,000 kaki persegi dengan pendingin hawa berpusat.

“Terdapat sedikit kekosongan di pasaran dan permintaan agak stabil untuk beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Alex Barnes, ketua pasaran Hong Kong JLL.

Kadar kekosongan semasa berada di bawah 2.0 peratus di Central Hong KOng, daerah perniagaan pusat terkecil dan paling berharga di dunia. Sewa pejabat perdana di situ naik 4.4 peratus setakat tempoh tersebut tahun ini.

Firma-firma China kekal memacu kenaikan harga sewa memandangkan syarikat multinasional lebih fokus terhadap pengurusan kos.

Sejumlah 370,000 kaki persegi ruang pejabat prima di tengah Hong Kong diduduki oleh syarikat-syarikat China pada tiga suku pertama taun ini, mewakili 48 peratus daripada jumlah sewa tahun ini.

Baki 80,000 kaki persegi lagi akan dimiliki tidak lama lagi. – MalaysiaGazette