Anthony Bourdain

BAKU – Azerbaijan mengisytiharkan cef selebriti Amerika Syarikat, Anthony Bourdain sebagai ‘persona non grata’ kerana melakukan lawatan ke wilayah Nagorny Karabakh yang dikuasai Armenia, kata para pegawai.

Selebriti televisyen itu dilaporkan melawat Karabakh awal bulan ini untuk penggambaran episod ‘Anthony Bourdain: Parts Unknown’ yang mendedahkan budaya dan makanan di lokasi kurang dikenali di seluruh dunia.

Bourdain ‘telah diletakkan dalam senarai persona non grata kerana tidak menghormati integriti dan kedaulatan wilayah Azerbaijan’, kata jurucakap Kementerian Luar, Hikmet Hajiyev kepada AFP.

Nagorny Karabakh berada di bawah Armenia sejak ia ditawan semasa konflik berdarah pada awal 1990an selepas keruntuhan Soviet Union.

Wilayah tersebut masih lagi diiktiraf antarabangsa sebagai sebahagian daripada Azerbaijan dan untuk mengunjunginya tanpa kelulusan Baku merupakan kesalahan jenayah di negara tersebut.

“Melakukan penggambaran mengenai makanan wilayah Azerbaijan merupakan penghinaan kepada sejuta pelarian Azerbaijan yang dipaksa keluar daripada rumah mereka,” kata Hajiyev.

Pertelagahan terhadap Nagorny Karabakh antara bekas republik Soviet, Azerbaijan dan Armenia berpanjangan dengan berbalas tembakan di sempadan yang hampir mencetuskan semula konflik pada tahun lalu.

Kedua-dua pihak tidak menunjukkan mahu berdamai dan tidak cuba berunding untuk menyelesaikan pertelingkahan tersebut.

Baku telah menyenarai hitam 700 warga asing yang melawat Karabakh dan melarang mereka memasuki negara itu.

Program pengembaraan dan makanan Bourdain yang disiarkan CNN telah memenangi lima anugerah Emmy. – Agensi