NEW YORK – Jam tangan Rolex milik bintang Hollywood, Paul Newman dijual pada harga AS$17.8 juta, memecah rekod bidaan dunia untuk seutas jam tangan, kata rumah bidaan, Philips.

Jam itu dihadiahkan oleh isterinya, Joanne Woodward ketika pasangan berkenaan membintangi filem Winning pada 1969. Banyak kali gambar Newman memakai jam tangan itu diambil sebelum ini.

Philips berkata, penjualan itu dilakukan pada lewat Khamis lalu di New York menerusi telefon oleh pembida yang tidak mahu dikenali setelah proses bidaan yang menarik minat pembida lebih daripada 40 buah negara berjalan 12 minit.

Bagaimanapun, jam paling mahal dilelong ialah jam poket Patek Philippe yang dihasilkan untuk tokoh perbankan New York, Henry Graves dibida pada harga AS$24 juta oleh Sotheby pada 2014.

Sebelum menyerahkan jam itu kepada suaminya, Woodward melarikkan perkataan ‘Drive Carefully Me’ di belakangnya, berikutan kemalangan motosikal pada 1965 yang dialami aktor yang gemar memandu laju itu.

Newman meminati perlumbaan kereta selepas memegang watak pemandu kereta lumba Indy dalam filem Winning.

Beliau menggunakan jam yang dikenali Paul Newman Daytona itu untuk mengambil catatan masa dan bertaruh dengan rakan -rakannya jam siapa yang lebih tepat daripada jam beliau, kata Philips.

Pada 1984, jam tersebut seakan-akan lenyap daripada pergelangan tangan Newman apabila isterinya membeli beliau jam baharu, Cosmograph Daytona bewarna hitam.

Bagaimanapun pada musim panas tahun yang sama, beliau memberi jam tersebut kepada teman lelaki anak perempuannya Nell, James Cox. Pasangan tersebut telah keluar bersama selama sedekad setelah mengenali di kolej.

Newman menghadiahkan jam itu apabila mendapati Cox, yang membantunya membina rumah pokok di tanah milik aktor itu di Westport, Connecticut, tidak memakai jam.

“Ayah menyerahkan jam Rolexnya dan berkata ‘Jika anda boleh ingat untuk menguncinya setiap hari, ia akan memberitahu anda waktu yang tepat,” tulis Nell pada surat yang ditandatanganinya pada surat yang disertakan dalam pembelian itu. – Agensi