Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sudah dipersembahkan untuk pertimbangan Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat pada 11 dan 12 Oktober lalu, kata Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Raja-Raja Melayu sudah ambil maklum berhubung DPTN yang mana terdapat beberapa resolusi dicapai dalam mesyuarat tertinggi ahli jawatankuasa khas (HLC) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Untuk pengetahuan YB, pada 11 dan 12 Oktober lalu Dasar Tahfiz Negara sudah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja. Raja-Raja pada persidangan kali ke-247 telah pun mengambil maklum berkenaan dengan DPTN,” kata beliau semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pas Bukit Gantang, Idris Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Asraf, antara resolusi penting yang disepakati dalam HLC adalah untuk memastikan DPTN tersebut disemarakkan.

“Selain itu, DPTN juga diharapkan dapat menyelaras kurikulum terutamanya aspek kualiti tahfiz ini bukan sahaja menjaga tahap prestasi dan keupayaan guru-guru sahaja tapi dalam konteks kurikulum supaya tak terpisah daripada arus perdana dalam kerangka dasar negara ini untuk melahirkan huffaz kita yang mempunyai keupayaan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran ini,” terang beliau.

Dalam pada itu, Asraf memberitahu, kerajaan sedang merangka empat model kurikulum bagi menambah baik sistem pendidikan tahfiz di negara ini.

“Oleh itu kerajaan melalui pelaksanaan DPTN sedang merangka empat model kurikulum yang boleh digunapakai oleh institusi tahfiz bagi menjamin masa depan dan hala tuju pelajar-pelajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Asyraf, terdapat kekangan untuk melaksanakan DFTN di sekolah tahfiz jika tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan menerusi program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Semua institusi pendidikan agama termasuk sekolah tahfiz yang ditubuhkan oleh pelbagai pihak adalah perlu berdaftar dan tertakluk kepada enakmen kawalan sekolah-sekolah agama atau peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negeri berkenaan.

“Ini adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

“Oleh itu aspek akademik dan sistem pembelajaran dan pengurusan sekolah berkenaan adalah berada di bawah kawalan pihak berkuasa agama negeri berkenaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast