Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim

PUTRAJAYA – Bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku tidak lama lagi, Bomba dan Penyelamat Malaysia diarah untuk membuat tumpuan ke kawasan Pantai Timur.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, tumpuan itu dibuat berdasarkan kepada kekerapan musim monson yang sering berlaku di kawasan itu.

“Buat masa ini fokus kita kepada Pantai Timur, kalau ikut cuaca pun gelombang kedua lebih kepada Pantai Timur dan kemudian akan bergerak ke Selatan dan juga Sabah dan Sarawak,” katanya kepada media selepas hadir dalam Seminar Kebangsaan Taman Permainan Kanak-kanak 2017 di Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Seminar anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dirasmikan Ketua Setiausahanya, Datuk Mohammad Mentek.

Tambah Wan Mohd, sejumlah 12,000 anggota Bomba dan Penyelamat sedang dalam mod bersiap sedia untuk menghadapi banjir gelombang kedua.

“Anggota bomba dan penyelamat semuanya 12,000 dan kita telah keluarkan arahan siap sedia dari segi peralatan dan sebagainya. Kita akan semak segala SOP.

“Arahan pembekuan cuti kepada anggota bomba akan kita dikeluarkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Mereka akan bekerja seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan ramalan gelombang kedua banjir dan perlu bersedia setiap masa sekiranya berlaku gelombang kedua.

“Saya nasihatkan orang ramai agar buat persiapan dari segi dokumen penting, barang berharga, dan apabila diminta berpindah perlulah berbuat demikan dengan segera ke tempat yang telah disediakan.

“Tidak perlu risau kerana tempat pemindahan telah ditentukan lebih awal dan aspek kebajikan dan makan minum akan dijaga dengan baik oleh pasukan yang bertugas ditempat pemindahan tersebut,” ujar beliau.

Berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusaran angin dan unjuran kelompok awan tebal yang berlaku di Pantai Barat kini diramal menuju ke Pantai Timur membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Utara serta Johor tengah.

Awal bulan ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan semua pihak bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan gelombang kedua dan ketiga perubahan cuaca pada bulan ini hingga Februari depan.

Ia berikutan banjir besar yang melanda Pulau Pinang yang mengakibatkan negeri itu lumpuh apabila puluhan jalan ditutup dan ratusan rumah di lima daerah di negeri ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih 15 jam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast