Tapak projek yang terbengkalai hampir empat bulan di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor di Jalan Melawati 3, Taman Melawati, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 NOVEMBER 2017.

HULU KELANG – Pengerusi Persatuan Penduduk Zon ABC, Razman Hakimi Abdullah membuat laporan polis selepas diugut oleh beberapa orang samseng di tapak projek terbengkalai di Taman Melawati ketika kekecohan berlaku semasa sidang media hari ini.

Razman membuat laporan tersebut selepas samseng yang mendakwa diri mereka sebagai pengawal keselamatan tapak projek Melawati Residensi mengancam keselamatan dengan kata-kata berbentuk ugutan terhadap beliau.

“Mereka menggugut saya dan keluarga saya dengan kata-kata seperti – ko tengok lah nanti, mampus lah kamu Razman dan kita akan cari kamu dan keluarga kamu.

“Semua percakapan itu direkod live oleh wartawan semasa berada di lokasi tersebut,” kata Razman dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Taman Melawati.

Semasa sidang media tengahari tadi, seorang individu yang mendakwa sebagai pengawal keselamatan di tapak projek Melawati Residensi yang didakwa terbengkalai membuat kecoh sehingga berlaku pertikaman lidah antara Razman dan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.

Tidak lama kemudiaan, dua lagi individu datang dipercayai rakan kepada pengawal keselamatan tapak projek tersebut.

Kekecohan itu berlarutan sehingga menyebabkan polis terpaksa campur tangan dan meredakan ketegangan antara kedua-dua pihak.

Razman dan Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard membawa media ke tapak projek terbengkalai di Taman Melawati yang berada dalam kawasan Parlimen Gombak yang mana wakil rakyatnya adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika sidang media berlangsung, tiba-tiba pengawal di tapak projek itu datang lalu menyergah Razman dan Badrul Hisham akibat tidak berpuas hati kerana membawa pihak media untuk membuat liputan di depan tapak projek.

Projek bangunan kediaman itu melibatkan lebih 20 tingkat dan dibina di kawasan seluas 18 ekar yang dahulu adalah sebuah rumah kelab, Century Paradise Country Club atau KK Club.

Lokasi projek itu kurang 30 meter dari laluan masuk ke taman perumahan Zon C, Taman Melawati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast