Flora Terrace yang kini semakin popular sebagai lokasi penganjuran acara seperti majlis sambutan hari lahir, perkahwinan, cukur jambul, acara korporat

KUALA LUMPUR – Syarikat atau organisasi yang sedang mencari kelainan dalam menganjurkan program latihan korporat, apa kata memilih konsep dalam sebuah restoran yang dihiasi taman.

Ini kerana Make It Bigger Resources Sdn. Bhd. (Make It Bigger) iaitu syarikat rundingan pemasaran, publisiti dan media kini tampil dengan konsep pembaharuan program itu yang bakal diperkenalkan pada tahun depan dan berbeza dengan program latihan korporat sedia ada.

Pengarah Pemasarannya, Salina Abdul Rahman berkata, konsep program latihan korporat dalam taman itu diyakini mampu menyuntik semangat segar dan baharu bagi peserta yang hadir.

Malah pihaknya turut menyasarkan program latihan korporat anjurannya  itu mampu mendapat perolehan bernilai RM1.5 juta sepanjang tahun 2018.

Beliau berkata, program tersebut akan dijalankan dengan kerjasama Flora Terrace Sdn. Bhd. (Flora Terrace).

“Kami yakin konsep terbaharu iaitu program latihan dalam sebuah taman itu mampu menarik minat organisasi yang ingin pembaharuan.

“Apatah lagi nama Flora Terrace cukup sinonim  sebagai sebuah lokasi penganjuran acara dan restoran yang dihiasi  indah seperti sebuah taman bunga.

“Disebabkan itu, kami ingin mengetengahkan suatu yang berbeza dengan memperkenalkan konsep latihan dalam taman bagi membuang perasaan bosan dalam kalangan peserta yang kebiasaannya berada di bilik latihan yang formal dan suram.

“Pembaharuan seumpama ini dapat meningkatkan minat mereka terhadap modul latihan yang dijalankan, sekali gus memberikan lebih impak dalam peningkatan diri peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis menandatangani perjanjian antara Make It Bigger dengan Flora Terrace di sini baru-baru.

Majlis menandatangani perjanjian antara Make It Bigger dengan Flora Terrace di sini baru-baru.

Sementara itu, Pengarah Urusan Flora Terrace, Syed Safwan Syed Rahmatullah berkata, kerjasama tersebut dijalankan merupakan  strategi syarikat untuk me­nerokai peluang perniagaan baharu.

“Kami yakin dengan jenama Flora Terrace yang kini semakin popular sebagai lokasi penganjuran acara seperti majlis sambutan hari lahir, perkahwinan, cukur jambul, acara korporat dan banyak lagi.

“Justeru, kami merasakan kini merupakan waktu yang sesuai untuk syarikat memperluaskan bidang perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan lokasi bagi latihan korporat dengan memanfaatkan keunikan tempat ini sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast