
KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan kononnya kerajaan perlu membayar RM2 bilion untuk mendapatkan semula tanah milik agensi itu di Jalan Semarak.
Katanya, beliau tidak pernah membuat sebarang kenyataan selepas sidang media bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim pada Khamis lalu.
“Mana ada kita cakap FELDA kena bayar RM2 bilion untuk dapatkan kembali tanah itu. Semuanya mengarut…hentikanlah,” katanya dipetik BH Online hari ini.
Menurut Shahrir, pihak terbabit cuba mengelirukan orang ramai dengan berita palsu itu dalam usaha untuk mendapatkan kepercayaan umum.
“Mereka menggunakan gambar BH ketika temubual tempoh hari untuk dapatkan kepercayaan umum, maka saya meminta BH supaya memberitahu masyarakat yang berita itu adalah palsu,” tegas beliau.
Ketika ini tular di media dan laman sosial dengan berita bertajuk “Felda kena bayar 2 bilion untuk miliki tanah itu semua”.
Ini berikutan pendedahan Shahrir berhubung ‘kehilangan’ tanah miliknya di Jalan Semarak di Kuala Lumpur yang dikatakan telah dijual kepada sebuah syarikat pada harga RM270 juta.
Apa yang menarik, beliau telah membuat laporan polis dan turut bertindak mendaftarkan kaveat ke atas tanah itu bagi membatalkan surat kuasa wakil penuh (PA) yang dikeluarkan, termasuk mengambil tindakan sivil terhadap pihak berkenaan. – MalaysiaGazette















