Ampang Park sampai ke titik akhir, akan diroboh

KUALA LUMPUR – Ampang Park yang merupakan pusat beli belah pertama di tengah-tengah ibu kota hampir sampai ke titik penghujungnya menjelang tarikh akhir 31 Disember ini.

Para peniaga di situ yang menjalankan perniagaan sejak 44 tahun lalu terpaksa keluar bagi memberi laluan pembinaan projek Stesen Mass Rapid Transit (MRT).

Bertempat di Jalan Ampang di persimpangan Jalan Tun Razak, pusat beli-belah itu menjadi tumpuan orang ramai sejak 1973.

Ia amat popular dan sering dikunjungi keluarga diplomat, orang kebanyakan dan warga asing yang tinggal di Lembah Klang.

Kejayaan Ampang Park turut membuka laluan kepada pusat beli-belah lain yang dibuka sekitar tahun 1970-an dan masih beroperasi sehingga hari ini.

*Video mengenai Ampang Park dihasilkan oleh pelajar universiti yang juga merupakan pembaca di MalaysiaGazette

Ia termasuk Kompleks Pertama di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 1976 dan Plaza Sungei Wang di Jalan Sultan Ismail serta Jalan Bukit Bintang pada 1977.

Pada 1 Jun lalu, tindakan undang-undang diambil pemilik premis di Ampang Park untuk mencabar pengambilan tanah bagi pembinaan Stesen Mass Rapid Transit (MRT) Ampang Park, berakhir.

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 39 pemilik strata dan penyewa untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan bagi semakan kehakiman, tahun lalu.

Terdahulu, pemilik dan penyewa memulakan tindakan perundangan mereka pada 8 Januari 2016 dengan memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan kelulusan merobohkan pusat beli-belah itu untuk memberi laluan kepada pembinaan laluan pejalan kaki bawah tanah yang menghubungkan stesen MRT baru ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park.

Mereka menamakan Kementerian Wilayah Persekutuan, kerajaan, pengarah tanah dan galian Wilayah Persekutuan serta pentadbir tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Bagaimanapun, kumpulan itu kemudiannya mengeluarkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Mereka memohon pengisytiharan yang Borang D bertarikh 17 Ogos 2015 dan Borang E bertarikh 22 Oktober 2015 di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dikeluarkan responden tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Bagaimanapun, pada 30 Jun 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan mereka selepas memutuskan pengambilan tanah itu dilakukan dengan sempurna dan mengikut undang-undang.

Mahkamah dilapor bersetuju dengan hujah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), yang dinamakan sebagai responden ketiga, objektif pengambilan tanah itu atas faktor keselamatan.

Pengambilan tanah oleh kerajaan itu adalah mengikut undang-undang dan bertujuan menjadikan projek tersebut lebih efisien.

Menurut MRT Corp, Stesen MRT Ampang Park ialah stesen penting untuk laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya kerana ia adalah satu-satunya stesen di mana penumpang boleh bertukar kepada LRT Kelana Jaya.

Sementara itu, Prssiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, Ampang Park akan menjadi lagenda yang akan dikenang sampai bila-bila.

Katanya, usaha Ikhlas untuk mempertahankan bangunan yang menjadi mercu tanda kepada pembangunan Kuala Lumpur sudah sampai pengakhirannya dan kini ia ibarat satu lipatan sejarah.

“Kami sudah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan Ampang Park daripada diroboh demi mengangkat martabat peniaga-peniaga yang telah lama menjalankan perniagaan di situ.

“Tetapi apakan daya, segala usaha yang dilakukan telah menjadi sia-sia dan kita hanya dapat melihat apa yang akan berlaku di situ nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette