Recep Tayyip Erdogan
Recep Tayyip Erdogan

KHARTOUM – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menggesa agar sekatan ekonomi ke atas Sudan ditarik balik sepenuhnya, lapor agensi berita China Xinhua.

“Sekatan itu telah merompak masa depan negara ini,” kata Erdogan semasa berucap di majlis penganugerahan Doktor Kehormat Undang-Undang kepada beliau oleh Universiti Khartoum pada Isnin.

Pemimpin Turki itu mengulangi sokongan negaranya terhadap Sudan dan berkata “Turki akan terus berdiri bersama-sama rakyat Sudan.”

“Kami telah berdiri bersama-sama rakyat Sudan sebelum ini, dan kami akan terus menyokong mereka pada masa akan datang. Kasih sayang saudara kami dari Sudan menjadikan kami berasa seperti kami berada di Istanbul, negara kami, dan bukan di Khartoum,” kata Erdogan.

Pada 6 Okt lepas, Amerika Syarikat (AS) telah memutuskan untuk menarik balik sekatan ekonomi ke atas Sudan namun masih mengekalkan Sudan dalam senarai AS sebagai negara yang menaja kegiatan keganasan.

Erdogan tiba di Khartoum pada Ahad, yang merupakan persinggahan pertama dalam lawatannya ke Afrika yang turut membawa beliau ke Chad dan Tunisia.- BERNAMA