KUALA LUMPUR – Merchantrade Asia Sdn Bhd melancarkan kad visa prabayar pelbagai mata wang yang boleh menukar ringgit Malaysia secara digital ke pelbagai mata wang pada kadar pertukaran yang dikehendaki oleh pelanggan.

Kad yang dikenali sebagai Merchantrade Money ini menawarkan urus niaga dalam lima mata wang iaitu dollar Australia, pound sterling, rupiah Indonesia, dollar Singapura dan dolar Amerika. Syarikat.

Merchantrade Asia berkata, syarikat itu merancang untuk menawarkan sehingga 20 mata wang asing di dalam Merchantrade Money menjelang akhir tahun 2018.

Keupayaan Merchantrade Money untuk menukar mata wang ringgit Malaysia ke mata wang asing di mana sahaja, memberi fleksibiliti dan keselesaan kepada pelanggan untuk melakukan
urus niaga dalam mata wang yang kehendaki pada kadar pertukaran mata wang yang telah dikunci.

Ia memberi faedah dan kelebihan kepada pelanggan yang ingin memaksimumkan nilai wang mereka dan memastikan mereka tidak terjejas dengan naik turun kadar pertukaran
mata wang asing.

“Merchantrade Money menawarkan kemudahan pertukaran wang 24-jam kepada pelanggan di serata dunia termasuk mereka yang sedang berada di luar negara,” menurut Ramasamy K Veeran, Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade.

Menurutnya, perkhidmatan ini juga memperkenalkan gaya hidup baharu kepada pelanggan dan bakal merubah kelaziman mereka apabila bertukar daripada konsep membawa wang tunai
kepada konsep baharu yang menggunakan kaedah digital sepenuhnya.

Apabila pelanggan memerlukan wang ketika menggembara, mereka boleh mengeluarkan mata wang asing di mana-mana mesin teller automatik (ATM) yang mempunyai perkhidmatan Visa di seluruh dunia pada kadar yang ditetapkan dan tertakluk pada caj bank negara berkenaan.

Kad ini disokong oleh aplikasi mudah alih yang memudahkan pelanggan memeriksa baki wang, mengurus bajet, mengirim wang, menukar ringgit ke pelbagai mata wang dan melakukan urus niaga e-dagang.

Merchantrade Money dibangunkan dengan kerjasama penyedia teknologi pembayaran global, Visa, dan ia boleh digunakan di lebih 44 juta rangkaian perniagaan seluruh dunia. – MalaysiaGazette