Tan Sri Lee Lam Thye di majlis pra-pelancaran Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-21 (COSH 2018) dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kelima (SciCOSH 2018) di Cyberjaya.

CYBERJAYA – Majikan perlu melaksanakan lebih banyak automasi dalam pematuhan pengurusan keselamatan dan memperkenalkan peralatan keselamatan pintar selaras dengan Revolusi Industri 4.0 atau IR4.0, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata semua pihak perlu menerima teknologi terkini dan secara beransur-ansur meninggalkan pendekatan manual seperti menggunakan pen dan kertas untuk menyimpan data keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

“Saya berharap kemajuan dalam teknologi keselamatan akan membolehkan majikan melindungi pekerja dengan lebih berkesan dan membantu mereka meningkatkan daya saing dengan mengurangkan kos berkaitan pengurusan keselamatan,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata Kelengkapan Pelindung Diri (PPE), seperti topi keselamatan dan cermin mata keselamatan, yang mempunyai sensor atau teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) dapat membantu mempercepatkan pengumpulan data dan meningkatkan ketepatan dan kecekapan pekerjaan.

“Sambungan tanpa wayar yang digabungkan dengan teknologi terkini dan “cloud computing” akan membolehkan pengurus keselamatan menggunakan komputer riba atau telefon pintar mereka untuk melihat pekerja mana yang sedang menggunakan peralatan tertentu dan menilai sama ada mereka mempunyai latihan yang mencukupi manakala peralatan tersebut diselenggara dengan baik atau tidak, “katanya.

Dengan penggunaan teknologi sedemikian, beliau berkata pengurus keselamatan boleh mengakses maklumat penting dalam masa beberapa saat.

Secara umum, beliau berkata IR4.0 menuntut perubahan dalam pendekatan KKP dengan memberi penekanan kepada kemahiran, pengetahuan dan aplikasi teknologi maklumat komunikasi (ICT) tertentu.

“Pada masa yang sama, program pendidikan baru perlu dibangunkan untuk memenuhi permintaan yang kian berubah,” katanya pada majlis pra-pelancaran Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-21 (COSH 2018) dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kelima (SciCOSH 2018) di sini hari ini.

Beliau berkata pakar ekonomi Jerman Klaus Schwab telah mengutarakan konsep IR4.0 pada tahun 2015 bagi menggambarkan kemunculan ekonomi digital yang melibatkan penggunaan automasi dan pertukaran data dalam teknologi industri.

Lee berkata IR4.0 juga merupakan era “Internet-of-Things” (IoT) di mana peranti dalam dunia fizikal saling berhubungan melalui Internet dan puluhan bilion pertanti dijangka dihubungkan di alam maya menjelang tahun 2020.

Beliau berkata kemajuan teknologi yang semakin pesat akan turut membolehkan PPE asas menjadi lebih pintar dan saling berhubungan.

Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang dikeluarkan di Davos tahun lepas, beliau berkata perubahan pesat dan persekitaran perniagaan dan organisasi yang semakin sibuk di bawah IR4.0 akan menyebabkan pekerja sentiasa berinteraksi dan memproses pelbagai maklumat secara serentak. Ia akan turut meningkatkan keupayaan mereka untuk belajar.

Oleh itu, beliau berkata latihan yang diberikan mestilah memenuhi keperluan sektor baru yang semakin berkembang. Ia bukan semata-mata menyediakan set kemahiran yang sesuai dengan keperluan industri tetapi juga memperlengkapkan pekerja untuk persekitaran kerja yang baru.

Mengenai COSH 2018, beliau berkata ia akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 24 dan 25 Sept, 2018.

Bertemakan “Meningkatkan KKP dalam Era Digital Baru”, beliau berkata acara tahunan tersebut akan membantu semua pihak terbabit menangani cabaran baru serta meningkatkan KKP melalui pengesanan awal risiko, pembangunan langkah pencegahan dan pelaksanaan sistem dan dasar KKP yang baik.

Bagi SciCOSH 2018 pula, beliau berkata program dwi-tahunan itu akan diadakan di Hotel Le Meridien Putrajaya pada 28 dan 29 Nov, 2018. Ia akan memberi tumpuan kepada penyelidikan saintifik terkini mengenai KKP termasuk yang berkaitan dengan IR4.0.

Pada majlis hari ini, Lee turut menyampaikan surat penghargaan kepada mereka yang telah menyokong program COSH serta menyerahkan sijil NIOSH Certification Sdn Bhd kepada pelanggannya iaitu Telekom Sales & Services Sdn Bhd, Kazema Catering Service Sdn Bhd dan Harum Engineering Sdn Bhd.

NIOSH turut menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Shell Retail Malaysia untuk menjalankan program pasport keselamatan untuk syarikat itu.

Di bawah MoA tersebut, Shell Retail Malaysia dan NIOSH akan bekerjasama untuk membangunkan program latihan induksi dan kecekapan untuk pekerja syarikat terbabit. –  MalaysiaGazette