Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa supaya merombak semula prosedur standard operasi (SOP) badan itu sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Langkah itu perlu dilakukan segera bagi mengelakkan pilihan raya umum tidak lama lagi menjadi pemilihan yang terkotor dalam sejarah Malaysia dakwa Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu ditegaskan beberapa pemimpin PH ekoran laporan agensi berita Bernama semalam tehadap bagaimana pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai menyalahguna MyKad pemilik asal yang hilang untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital-hospital kerajaan.

Malah, pada Sabtu lalu, wakil-wakil PH Wilayah Persekutuan dalam satu jemputan oleh SPR telah dimaklumkan bahawa tiada alat pengesahan diguna oleh badan itu untuk mengesahkan dokumen-dokumen pengesahan identiti yang boleh digunapakai termasuklah MyKad, pasport, laporan polis kehilangan MyKad dan lesen memandu.

“Ini adalah sesuatu yang cukup memeranjatkan dan sangat berbahaya.

“Apabila kita saksikan bagaimana hospital kerajaan pun boleh disalahguna PATI kerana tiada alat pengesahan MyKad, bukankah ketiadaan alat pengesahan MyKad, pasport dan lesen memandu di saluran-saluran mengundi memungkinkan dokumen-dokumen palsu disalahguna pengundi-pengundi hantu untuk mengundi?

“Memandangkan isu ini bakal mencemar proses pengundian PRU14, SPR perlu merombak semula SOP dan menjamin penggunaan alat-alat pengesahan MyKad, pasport dan lesen memandu untuk memastikan hanya pengundi yang sah keluar mengundi,” kata pemimpin PH yang diketua Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Justeru menurut kenyataan mereka, perkara yang berlaku bukan sahaja memeranjatkan sebaliknya, turut menimbulkan keraguan berkaitan proses pilihanraya itu sendiri.
– MalaysiaGazette