KUALA LUMPUR – Veteran UMNO menggesa kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk menggantikan tempat Datuk Seri Mohd Johari Hussain bagi bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada pilihan raya kali ini.

Presiden Veteran UMNO Rompin, Datuk Abd. Rahim Ibrahim yang sekali lagi meluahkan ketidakpuasan hati berkata, pengundi di kawasan tersebut sebulat suara menolak wakil rakyat DUN itu yang dilihat tidak layak menjadi pemimpin.

“Rakyat di DUN Tioman ini sudah tidak mampu lagi menerima cara kepimpinan yang ditunjukkan oleh Johari.

“Fikirlah sebelum terlambat. Suara akar umbi adalah lebih penting dari suara-suara luar tepi yang mana setengahnya tidak pun menggundi di DUN Tioman ini,” katanya menerusi kenyataan media.

Malah tambah beliau, Johari yang merupakan bekas ahli Pas itu gagal menjalinkan hubungan baik dengan ketua cawangannya.

“Selaku bekas ahli Pas seumur hidup, Johari memang susah untuk menjiwai perjuangan UMNO apatah lagi apabila beliau dipilih sebagai calon BN mewakili UMNO.

“Setiap kali datang ke cawangan, beliau tidak pernah berjumpa atau menghubungi ketua-ketua cawangan di kawasan yang dilawati, sebaliknya pergi berjumpa dengan kawan-kawan beliau yang terdiri dari kalangan pemimpin Pas di cawangan-cawangan tersebut,” menurutnya.

Sehubungan itu, pimpinan parti itu jelas Abd. Rahim perlu menerima teguran akar umbi yang bakal menentukan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Penggundi dalam DUN Tioman ini secara jelas sudah pun menolak beliau sekiranya beliau masih diletakkan sebagai calon bagi DUN Tioman ini.

“Jika teguran dan suara akar umbi ini tidak diendahkan oleh pihak kepimpinan tertinggi parti, kami bimbang UMNO dan BN akan kecundang di DUN Tioman pada PRU-14 nanti,” tambah beliau. – MalaysiaGazette