KODIANG – Dakwaan mengatakan kerajaan muflis adalah tidak benar sama sekali malah banyak program pembangunan dirancang khususnya dalam pendidikan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris berkata, jika kerajaan muflis masakan banyak peruntukan disalurkan dalam bidang pendidikan sebagai persediaan kepada belia menghadapi Revolusi Industri 4.0 yang akan datang tidak lama lagi.

“Saya sudah dengar dakwaan kerajaan muflis lima tahun sekarang, jika betul jadi macam mana kita nak buka Kolej Komuniti?” kata beliau semasa perasmian Kolej Komuniti Cawangan Jerlun hari ini.

Jelas Idris, kementerian akan memperkenalkan banyak lagi kursus baharu yang relevan dengan perkembangan teknologi terkini bagi mempersiapkan rakyat Malaysia dalam Revolusi Industri 4.0 nanti.

“Kami akan terus meningkatkan banyak kursus baharu bawah Revolusi Industri 4.0.

“Kita akan lupuskan kursus yang tidak relevan dan memperkenalkan kursus yang baharu,” ujarnya.

Menurut Idris, pasaran kerja peserta Kolej Komuniti sangat tinggi dan mereka memiliki peluang yang cerah untuk mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan kursus.

“Kebolehpasaran peserta adalah 96.7 peratus, ini bermakna semua pelajar Kolej Komuniti mampu mendapatkan pekerjaan.

“Oleh sebab itu kita buka Kolej Komuniti di Kangar, Lenggong, Rantau Panjang dan Setiu,” katanya.

Pembukaan Kolej Komuniti Cawangan Jerlun merupakan yang ke-10 di Kedah.

Kolej Komuniti menawarkan kursus sepenuh masa dengan sebanyak 48 sijil dan 17 diploma program.

Selain memberikan pendidikan kemahiran kepada lepasan SPM, Kolej Komuniti juga memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan berkaitan kursus pendek kepada komuniti setempat dibawah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH).

Semasa majlis perasmian hari ini juga, syarikat bas MARA Liner Sdn Bhd bersama Kolej Komuniti Bandar Darulaman turut menandatangani nota kerjasama strategik bagi menjayakan program Diploma Teknologi Automotif. – MalaysiaGazette