Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Ahmad Yakob.

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah masing-masing akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan dan Panchor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu demikian pada majlis pengumuman calon PAS Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam ini.

Beliau berkata PAS akan bertanding di kesemua 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bagi mengekalkan kerajaan negeri pada pilihan raya itu.

Abdul Hadi turut mengumumkan bahawa Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian selain Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan serta Siti Zailah Mohd Yusoff masing-masing mahu mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Kota Bharu dan Parlimen Rantau Panjang.

PAS turut melakukan beberapa pertukaran dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi, yang sebelum ini bertanding di kerusi DUN Wakaf Bharu, dicalonkan bertanding kerusi Parlimen Tumpat dan tempatnya digantikan muka baharu, Mohd Rusli Abdullah.

Anak allahyarham Nik Abdul Aziz, Nik Mohamad Abduh yang dahulunya bertanding di Parlimen Pasir Mas, dipindahkan ke Parlimen Bachok. Kerusi Pasir Mas pula akan ditandingi Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari.

Penyandang kerusi Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaari pula bertukar ke Parlimen Pengkalan Chepa manakala penyandang kerusi itu (Pengkalan Chepa) Dr Izani Husin dipindahkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang.

Selain itu, PAS Kelantan mempertaruhkan Timbalan Speaker DUN Kelantan Abd Latiff Abd Rahman untuk bertanding di Parlimen Kuala Krai manakala penyandang kerusi DUN Pulai Chondong Zulkifli Mamat dicalonkan bertanding di Parlimen Machang dan tempatnya digantikan dengan calon muka baharu, Azhar Salleh.

Antara yang membuat penampilan semula ialah Wan Ismail Wan Jusoh yang bertanding di kerusi Parlimen Ketereh dan Dr Nik Muhd Zawawi Salleh (Pasir Puteh).

Antara muka baharu yang diketengahkan PAS ialah Wan Roslan Wan Hamat (Pengkalan Kubor), Mohd Adanan Hassan (Kelaboran), Zuraidin Abdullah (Chetok), Saiful Adli Abu Bakar (Salor), Tuan Mohd Sharipudin Tuan Ismail (Selising), Mohd Rodzi Ja\’afar (Gaal) dan Ramzi Mohd Yusoff (Bukit Bunga).

— BERNAMA