Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil - foto AFIQ RAZALI, 02 MEI 2018.

BANTINGĀ – Rizab kewangan Kerajaan Negeri Selangor yang kini mencecah lebih RM4 bilion sebenarnya merupakan jasa dan hasil pemerintahan Barisan Nasional (BN) di negeri itu sejak beberapa dekad lalu.

Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tidak mungkin pakatan pembangkang mampu menjana kewangan sebegitu banyak itu dalam tempoh singkat tanpa ‘jasa’ pemimpin BN terdahulu.

“Sebenarnya duit yang banyak di Selangor itu (RM4 bilion) asal usulnya daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout Ramah Mesra Bersama Jentera Jalinan Rakyat (JR) di IKBN Kuala Langat, di sini hari ini.

Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) bersama calon Barisan Nasional N.53 Morib, Rozana Kamarulzaman (dua kiri) bersalaman dengan Jentera Jalinan Rakyat (JR) pada Program Walkabout Ramah Mesra Bersama Jentera Jalinan Rakyat (JR) sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di IKBN Kuala Langat, Kuala Langat, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 02 MEI 2018.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Majlis Santai Ramah Mesra bersama rakyat Telok Gong, Pelabuhan Klang pada Isnin lalu yang menyatakan rizab kewangan negeri itu kini mencecah RM4 bilion.

Dalam ucapannya, Mohamed Azmin mengakui tidak tahu menggunakan rizab berbilion sebanyak itu ketika pentadbirannya sejak empat lalu.

Shahrizat selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO juga membidas sikap angkuh Mohamed Azmin itu yang berbangga dengan jumlah rizab itu sedangkan banyak masalah rakyat gagal ditangani beliau ketika memerintah Selangor.

“Sepatutnya duit yang sebanyak itu diturunkan kepada rakyat, air tiada, denggi berleluasa, sampah bersepah di sana sini, perumahan (kos rendah) pun tiada.

“Sebagai pemimpin yang hebat, dia sepatutnya menjaga rakyat. Inilah cerita angkara pembangkang, di Pulau Pinang pun macam itu juga.

“Mereka ini cakap saja besar, bila nak implementasi, tak mampu,” katanya.

Katanya lagi, pilihan raya bukan sesuatu yang boleh diambil mudah kerana jika pengundi salah membuat pilihan, masa depan rakyat dan negara akan tergadai.

“Kita tak boleh ambil sambil lewa soal kestabilan, keamananan dan pembangunan mungkin sesetengah orang ingat saya nak popular bila bercakap soal ini.

“Saya nak ingatkan pengundi apabila kita dapat whatsapp ataupun berita, kita kena periksa sama ada perkara itu betul atau tidak, munasabah atau tidak.

“Mereka ini memang pakar berita palsu, mereka yang di sebelah sana (pembangkang),” katanya lagi. – MalaysiaGazette