Gambar hiasan

PUTRAJAYA-  Langkah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan digantikan dengan kebergantungan terhadap pendapatan hasil komoditi seperti petroleum merupakan satu tindakan yang kurang bijak.

Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektor Dasar Cukai Tidak Langsung dan GST) Kementerian Kewangan, MA Sivanesan berkata, ini berikutan peranan GST sebagai satu bentuk cukai penggunaan yang begitu stabil dalam apa juga keadaan ekonomi, sekali gus memberi kestabilan kepada pendapatan kerajaan.

“Ini berbanding komoditi seperti petroleum yang mana aspek kenaikan dan penurunan harganya adalah sukar dikawal berikutan faktor luaran.

“Oleh itu, (tindakan)kebergantungan kepada hasil minyak itu bukanlah satu pilihan yang bijak,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini semalam.

Beliau turut menyifatkan tindakan pemansuhan GST sebagai tidak wajar dan bersifat ‘mundur’ berikutan objektif asal GST yang diperkenalkan pada 2015 adalah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum berdasarkan pengalaman kerajaan berdepan krisis kejatuhan harga minyak global.

“Kalau kita lihat pada 2016, apabila harga minyak dunia jatuh kepada lebih kurang US$30 setong, ia memberi impak sebanyak RM30 billion kepada ekonomi kita.

“Sehubungan itu, tindakan bergantung kepada hasil minyak bukanlah satu cara yang terbaik,” katanya.

Malah, keberkesanan GST yang telah digunapakai di lebih 160 buah negara turut menarik minat sekurang-kurangnya tiga negara lagi untuk melaksanakannya selepas Malaysia iaitu India, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Selain itu, beliau berkata dakwaan bahawa GST sebagai punca kenaikan kos sara hidup juga tidak tepat kerana kajian selepas pelaksanaannya pada 2015 menunjukkan kenaikan inflasi akibatnya adalah kurang daripada 1.0 peratus.

Sebaliknya, antara faktor kenaikan kos sara hidup adalah permintaan terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan yang melebihi penawaran serta kadar tukaran mata wang asing yang memberi impak terhadap produk import.

“Kita perlu akui bahawa sebahagian besar barangan yang kita gunakan adalah diimport dan bukan semua dihasilkan dalam negara. Apabila berlaku kejatuhan nilai ringgit, ianya memberi impak kepada harga,” katanya.

Menurut Sivanesan, model GST yang digunapakai Malaysia juga bertujuan memastikan barang-barang asasi dan perkhidmatan tertentu dikecualikan daripada GST dengan komponen besarnya merangkumi barang makanan dan perkhidmatan pengangkutan.

Beliau menegaskan, kadar 6.0 peratus yang dikenakan ketika ini adalah ‘neutral’ dan bukannya bertujuan melonjakkan pendapatan kerajaan secara drastik sebaliknya memadai bagi menggantikan hasil daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dihapuskan bagi pelaksanaan GST.

“Kerajaan sangat berhati-hati untuk memastikan kadar itu tidak membebankan dan hasil yang dikutip adalah neutral berbanding kutipan SST terdahulu,” katanya.

Sivanesan berkata, demi memastikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana tidak terbeban dengan GST, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan yang layak berbanding subsidi secara pukal sebelum ini.

Selain bantuan khas, kerajaan turut mengurangkan kadar cukai pendapatan dengan objektif untuk menambah pendapatan boleh guna isi rumah, sekali gus mengekalkan kuasa beli rakyat.

Struktur GST di Malaysia turut memberi pengecualian serta berkadar sifar membabitkan 31 kategori barangan dan perkhidmatan selepas mengambil kira keadaan sosioekonomi masyarakat di negara ini, katanya.

Malah, kata Sivanesan, walaupun pertubuhan antarabangsa termasuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa menggesa supaya skop pelepasan dan pengenaan kadar sifar GST dikaji semula, namun kerajaan tidak mempunyai perancangan sedemikian ketika ini.

“Kita lihat senarai barang yang diberi kadar sifar atau pun pengecualian, memberi kesan begitu baik ke atas kemajuan cukai. Maksudnya rakyat berpendapatan rendah tetap akan terpelihara dan tidak terbeban dengan kesan GST,” katanya.

Mengenai kemungkinan kadar GST itu dinaikkan selepas ini, beliau berkata kerajaan juga tidak mempunyai sebarang rancangan sedemikian pada masa ini.

Namun, kajian GST boleh dilaksanakan pada masa depan sekiranya wujud keperluan untuk menaikkan atau menurunkan kadarnya berdasarkan faktor-faktor ekonomi.

“Jika suatu hari nanti kita dapati tahap ekonomi kita telah sebegitu bagus dan pendapatan rakyat bertambah baik, kita mungkin melihat kepada keperluan mengkaji semula kadar GST,” katanya.

Menurutnya, antara negara yang pernah berbuat demikian adalah Thailand yang menurunkan kadar GST kepada 7.0 peratus berbanding 10 peratus pada penghujung 1990-an berikutan isu ekonomi.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 470,000 perniagaan telah berdaftar dengan GST iaitu peningkatan hampir dua kali ganda berbanding sewaktu dilaksanakan pada 2015.

Dari segi kutipan, GST mencatat peningkatan setiap tahun dengan jumlah keseluruhan kutipan tahun lalu mencecah RM44.3 bilion berbanding RM42 bilion pada 2016 dan RM27 bilion pada 2015.

Sumbangan GST kepada hasil kerajaan turut meningkat kepada 20 peratus tahun lalu berbanding 16 peratus pada 2015 manakala sumbangan SST sebelum ini hanyalah sekitar 8.0 peratus, katanya. – MalaysiaGazette