Tan Chong

KUALA LUMPUR – Edaran Tan Chong Motor (ETCM) membayangkan harga jualan kenderaannya akan meningkat jika kerajaan melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Perubahan SST itu berbeza berbanding pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menyaksikan penurunan sedikit harga kereta, menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Chris Tan.

“Jadi, jika pelaksanaan cukai berkaitan selepas ini akan beralih semula kepada kaedah sebelum ini, maka logiknya akan ada peningkatan harga.

“Jika ini situasinya, sekarang mungkin masa terbaik untuk membeli kenderaan, kerana untuk masa akan datang, harga kenderaan mungkin akan sedikit meningkat,” jelas beliau yang dipetik dari paultan.org

Berikutan itu, katanya, ETCM akan menyediakan skim perlindungan harga, sama seperti yang diumumkan oleh syarikat berkait dengannya, Motor Image (pengedar kenderaan Subaru) hari ini.

Di bawah program berkenaan, pelanggan yang membeli kenderaan mereka bermula bulan ini akan diberikan pemulangan semula bagi perbezaan harga yang ada sekiranya harga selepas pemansuhan GST nanti menjadi lebih rendah.

Namun bentuk pemulangan yang akan dilakukan masih belum ditentukan ketika ini.

“Tetapi, sekiranya harga kenderaan akan meningkat selepas ini, mereka yang membuat pembelian ketika ini sudah tentu akan lebih beruntung,” tambahnya.

Beliau yakin kerajaan baru ini akan meletakkan kepentingan rakyat dan pelanggan di hadapan, dan apa pun keputusan yang diambil nanti akan menjurus kepada “situasi harga yang positif”.

Jelasnya, semua perkara berkaitan akan hanya dapat ditetapkan sebaik sahaja kaedah dan pengiraan cukai yang akan dilaksanakan selepas ini diumumkan dengan lebih terperinci oleh kerajaan. – MalaysiaGazette