PNB
Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar berucap pada Majlis Berbuka Puasa PNB bersama anak-anak yatim di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 MEI 2018

KUALA LUMPUR- “Hanya pelajaran yang mampu membawa adik-adik keluar daripada kemiskinan,” nasihat Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar kepada 161 anak yatim daripada tiga rumah kebajikan yang menghadiri majlis berbuka anjuran firma pengurusan dana terbesar negara itu malam tadi.

Abdul Wahid yang terkenal sebagai seorang tokoh korporat dan pernah menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana (Unit Perancangan Ekonomi) serta dikenali sebagai troubleshooter hebat di negara ini di dalam mentransformasi banyak syarikat korporat merupakan seorang anak miskin semasa kecil.

Dengan usaha dan kegigihannya, Abdul Wahid, 54, berjaya mendaki tangga kejayaan dan bukan sahaja membawa keluar diri serta keluarganya daripada kepompong kemiskinan malah mampu menjadi teladan kepada orang lain.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar menyampaikan duit raya dan beramah mesra kepada sebahagian anak-anak yatim yang hadir sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad pada Majlis Berbuka Puasa PNB bersama anak-anak yatim di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 MEI 2018

“Belajarlah bersungguh-sungguh kerana apabila berjaya di dalam pelajaran, adik-adik boleh mendapat pekerjaan yang baik dan membawa keluar keluarga daripada kemiskinan.

“Ramai di antara pakcik-pakcik di sini yang asalnya daripada keluarga yang susah dan kini telah pun berjaya,” katanya lagi.

Di PNB sendiri, organisasi itu membelanjakan kira-kira RM20 juta setahun untuk program tanggungjawab sosial (CSR) yang mana sebahagian besarnya diperuntukkan untuk bidang pendidikan.

Menurut Abdul Wahid kira-kira 1/3 daripada peruntukkan CSR digunakan untuk bidang pendidikan termasuk dengan menyediakan biasiswa, penajaan pelajar untuk meningkatkan jumlah akauntan bertauliah dan program celik kewangan.

Katanya, dalam tempoh empat tahun akan datang, peruntukan dalam bidang pendidikan akan dinaikkan sedikit bagi memberi fokus kepada program akauntan bertauliah.

Dalam pada itu, PNB turut menyerahkan duit raya bernilai RM100 seorang, barangan peribadi seperti beg dan selimut kepada anak-anak yatim berkenaan.

Sumbangan berjumlah RM10,000 turut diberikan kepada setiap rumah kebajikan berkenaan. – MalaysiaGazette