Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Prestasi perniagaan pada suku tahun kedua 2018 dijangka terus meningkat dengan petunjuk keyakinan berkembang 7.8 peratus, terutamanya dalam sektor industri (+9.9%), perdagangan borong & runcit (+7.4%) dan perkhidmatan (+8.6%).

Hasil kasar pada suku tahun kedua 2018 dijangka terus meningkat dengan 34.0 peratus pertubuhan menjangkakan peningkatan manakala 11.4 peratus pertubuhan menjangkakan penurunan. Imbangan bersih yang dicatatkan adalah +22.6 peratus, menurut Jabatan Perangkaan.

Dari segi bilangan pekerja, 8.7 peratus pertubuhan meramalkan peningkatan manakala 7.9 peratus pertubuhan meramalkan penurunan pada suku tahun kedua 2018 yang mendorong kepada imbangan bersih +0.8 peratus.

Keadaan semasa prestasi perniagaan mencatatkan penurunan dengan imbangan bersih keseluruhan bagi semua sektor -1.2 peratus pada suku pertama 2018. Penurunan ini disumbangkan oleh sektor industri (-3.1%), pembinaan (-31.1%) dan perdagangan borong & runcit (-1.5%).

Katanya, hasil kasar pada suku tahun pertama 2018 meningkat dengan imbangan bersih +2.6 peratus di mana 26.0 peratus pertubuhan melaporkan peningkatan manakala 23.4 peratus pertubuhan mengalami kemerosotan.

Dari segi bilangan pekerja, 11.8 peratus pertubuhan menyatakan terdapat peningkatan manakala 12.9 peratus pertubuhan melaporkan penurunan.

Sementara itu, 75.3 peratus pertubuhan melaporkan tiada perubahan dalam bilangan pekerja.
Secara keseluruhan, imbangan bersih -1.1 peratus direkodkan bagi bilangan pekerja pada suku tahun pertama 2018. – MalaysiaGazette