Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media isu pembelian rumah pertama dan PPR di Bilik Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018
Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Semua agensi perumahan mampu milik akan selaraskan di bawah satu pengurusan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, tindakan itu akan didahulukan menerusi Kertas Kabinet atau cadangan yang bakal dikemukakan dalam masa dua minggu.

Antara agensi perumahan mampu milik adalah Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M), Rumah Transit 1Malaysia dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

“Dalam kes ini, bila diselaraskan akan mudah untuk kita (KPKT). Semua agensi perumahan diletakkan di bawah satu bumbung. 

“KPKT akan buat Kertas Kabinet untuk kelulusan menyelaraskan projek-peojek perumahan tidak kira agensi mana termasuk PR1MA, SPNB, ada 10 ke 11 agensi perumahan yang disenarai dan kita akan buat kertas cadangan untuk selaras dengan KPKT dalam dua minggu,” katanya.

Beliau dalam sidang medianya di bangunan KPKT memaklumkan kerajaan akan mengubah nama PR1MA. 

Jelasnya, ini kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gembira dengan nama ‘1Malaysia’ yang disifatkannya sebagai satu jenama dan tidak melambangkan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. 

“Nama-nama untuk dipertimbangkan akan dibawa ke Kabinet untuk dipertimbangkan InsyAllah nama PR1MA kami juga.

“Secara prinsipalnya Tun M tidak gembira dengan 1Malaysia, 1Malaysia ni sebab macam jenama sudah habis untuk 1Malaysia, BR1M pun ditukar namanya kepada Bantuan Sara Malaysia jadi kami akan menukarkannya.

“Kita akan lihat nama yang sesuai untuk dibawa ke Kabinet,” jelas Ahli Parlimen Ampang itu. – MalaysiaGazette