Anthony Bourdain
Anthony Bourdain

NEW YORK – Cef selebriti dan personaliti televisyen Amerika Syarikat, Anthony Bourdain, 61, ditemui mati dipercayai membunuh diri bilik sebuah hotel, lapor CNN.

Bourdain yang sedang membuat penggambaran siri ‘Parts Umknown’ kelolaan CNN berada di Strasbourg, Perancis.

“Dengan sedihnya kami boleh mengesahkan kematian rakan dan rakan sekerja kami, Anthony Bourdain,” kata saluran televisyen itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bourdain merupakan penulis makanan, fiksyen dan bukan fiksyen terlaris.

Kenyataan CNN berkata, “Beliau gemar pengembaraan, kawan baharu, makanan dan minuman serta cerita-cerita dunia luar biasa yang menjadikannya seorang pencerita yang unik.

“Bakat beliau tidak terhenti dan kami akan merinduinya. Ingatan dan doa kami bersama-sama dengan anak perempuan dan keluarga beliau pada masa yang sukar ini,”.

Beliau menjadi terkenal pada 2000 menerusi buku yang bertajuk ‘Kitchen Confidential: Adventures in the Culinary Underbelly’ yang merupakan pendedahan di belakang tabir dunia masakan.

Beliau secaja jujur mendedahkan penyalahgunaan dadah termasuk kokain, heroin dan LSD.

Bourdain mengembara lebih 250 hari setahun bagi penggambaran rancangannya, kata beliau kepada Wall Street Journal pada Mac lalu.

Program televisyen pertamanya ialah A Cook’s Tour yang disiarkan oleh rangkaian Food Network pada 2002. Tiga tahun kemudian beliau menyertai Travel Channel menerusi rancangan Anthony Bourdain: No Reservations yang merangkul dua Anugerah Emmy.

Beliau kemudian berhijrah ke CNN pada 2013 dengan program pengembaraan dan makanan baharu, Parts Umknown yang masuk musim ke-11.

Bourdain membesar di Leonia, New Jersey sebuah kawasan golongan berada di pinggir bandar. – Agensi