Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan kenaikan surcaj elektrik tidak boleh ditangguhkan kerana kos tertangguh akan memberi kesan kepada peningkatan mendadak pada masa depan.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), Piarapakaran S. berkata, kenaikan tarif elektrik bagi komersial tidak dapat dielakkan kerana pada akhir tahun lalu, tarif purata telah meningkat daripada 38.53 sen/kWj kepada 39.45 sen/kWj.

Bagaimanapun beliau mendakwa, Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang gagal untuk memaklumkan tentang kenaikan itu.

Ketelusan dalam komponen kos tarif juga gagal dimaklumkan.

“Apa yang berlaku sekarang adalah kehilangan pemberian rebet sebanyak 1.52 sen/kWj dan pelaksanaan caj tambahan (surcharge) sebanyak 1.35 sen/kWj.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan caj tambahan tidak dikenakan bagi pengguna domestik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) membantah pelarasan surcaj elektrik kerana kenaikan itu dimaklumkan dalam tempoh yang singkat dan pemain industri, terutamanya pengeksport tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyelaraskan dengan kos tambahan.

Presidennya Datuk Soh Thian Lai berkata, pemilik perniagaan, terutamanya pengeksport yang terma kontrak telah dipersetujui sebelum ini, perlu berdepan dengan bil elektrik yang lebih tinggi daripada biasa susulan pelaksanaan mekanisme kos tidak berimbang (ICPT).

Menurut Piarapakaran, caj tambahan ini berkaitan dengan kos bahan api dan bukan kenaikan tarif secara langsung.

Jelas beliau, perubahan kos bahan api berbanding harga rujukan akan disalurkan semula kepada pengguna setiap 6 bulan sekali.

Jika kos bahan api lebih tinggi daripada harga rujukan, caj tambahan akan dikenakan dan apabila kos bahan api lebih rendah daripada harga rujukan rebet akan diberikan.

Tambahnya, jika dibandingkan dengan tarif purata 39.45 sen/kWj, caj tambahan yang dikenakan adalah bersamaan dengan kenaikan secara tidak langsung sebanyak 3.42 peratus.

Dalam menghadapi situasi semasa, Suruhanjaya Tenaga diminta memastikan kos-kos input lebih telus.

Katanya, Suruhanjaya Tenaga gagal dalam aspek ini hingga mengakibatkan wujud salah faham tentang pemahaman kos-kos kepada tarif.

Mengulas rungutan pihak-pihak komersial berhubung kenaikan tarif, Piarapakaran berkata, apabila diberi rebat mereka akan kata ia tidak cukup sebab kos-kos lain meningkat.

Tetapi, jika berlaku kenakan caj tambahan, mereka akan menyatakan peningkatan tinggi dan tidak mampu bertahan serta perlu menaikkan kos.

Dalam masa yang sama, AWER mengesyorkan agar kerajaan memastikan kos-kos yang disalurkan adalah munasabah.

Kerajaan perlu melihat semula perjanjian-perjanjian pembelian tenaga secara rundingan terus dan harga gas asli berpaip oleh Petronas.

“Ini adalah kos-kos yang boleh dielakkan. Ini akan membantu mengurangkan tarif purata,” katanya. – MalaysiaGazette

Naik tarif elektrik: Kenapa tidak bincang dulu? soal CASSA

Surcaj tarif dijangka tampung kerugian TNB