1MDB

SINGAPURA – Penyiasat dari Singapura dan Malaysia telah mengadakan pertemuan untuk berkongsi maklumat mengenai siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata pihak berkuasa.

Selain Singapura, Malaysia juga sedang bekerjasama dengan beberapa negara lain yang terlibat dalam penyelewengan dana AS$4.5 bilion.

Siasatan itu telah dipercepatkan sejak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memenangi pilihan raya pada bulan Mei lalu.

Semalam, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa dengan empat pertuduhan berkaitan dengan SRC International Sdn. Bhd.

Najib yang mengaku tidak bersalah meminta dibicarakan.

Singapura telah mendenda lapan bank dan mengenakan hukuman penjara ke atas empat individu kerana terlibat dengan skandal 1MDB.

Malah, pihak berkuasa Singapura telah mengeluarkan waran kepada Low Taek Jho atau Jho Low dan rakannya, Tan Kim Loong, dua tokoh utama dalam kes itu, pada tahun 2016.

Seorang bekas kakitangan BSI SA dikenakan hukuman penjara selama 54 bulan, hukuman terpanjang dalam kes 1MDB setakat ini.

“Low Taek Jho dan Tan Kim Loong kekal sebagai individu utama yang dikehendaki di Singapura,” kata jurucakap pihak berkuasa itu ketika menjawab pertanyaan Bloomberg News.

Tambah jurucakap itu, Singapura telah menyediakan Malaysia dengan maklumat tentang aliran dana berkaitan 1MDB sejak Mac 2015 hingga kini dan telah diakui Malaysia.

Pegawai-pegawai dari kedua negara itu telah bertemu pada 31 Mei dan membincangkan pengumpulan bukti, mengenal pasti saksi Singapura dan memetakan pergerakan wang untuk mengesan dana dan aset yang masih wujud.

“Sejak mesyuarat kedua antara pihak berkuasa Malaysia dan Singapura pada 7 Jun, agensi penguatkuasa undang-undang di kedua-dua bidang kuasa telah mengadakan beberapa mesyuarat di Singapura,” katanya.

Semalam, pihak berkuasa Monetari Singapura berkata, negara itu sedang “melihat dengan teliti” maklumat baru dan mungkin meneliti semula bank-bank jika terdapat bukti baru.

Malah, para penyiasat juga masih meneruskan pemeriksaan ke pelbagai individu, kata Ravi Menon, Pengarah Urusan MAS, tanpa memberikan butiran lanjut. – Bloomberg