Kilang Saudi Aramco di Riyadh. foto Reuters

DUBAI – Saudi Aramco memaklumkan kebakaran kecil yang dikawal di kilang Riyadh berpunca daripada “insiden operasi”.

Menurutnya, kebakaran itu tidak mendatangkan kecederaan dan tidak memberi kesan kepada operasi.

Firma itu membuat penjelasan itu selepas media melaporkan tentang kebakaran dalam satu gudang simpanannya.

Kenyataan melalui Twitter Saudi Aramco itu dibuat selepas Houthi yang merupakan sekutu Iran di Yaman mendakwa dron miliknya telah menyerang gudang simpanan syarikat tersebut.

Puak Houthi yang menguasai Sanaa telah melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu ke Arab Saudi dalam beberapa bulan kebelakangan, sebahagian daripada konflik berusia tiga tahun yang dilihat sebagai pertempuran proksi antara saingan serantau Arab Saudi dan Iran.

Kebanyakan peluru berpandu berjaya dipintas oleh tentera Arab Saudi.

Gabungan ketenteraan yang diketuai oleh Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu telah campur tangan dalam peperangan Yaman pada tahun 2015 untuk menyingkirkan Houthi dan memulihkan pemerintahan yang diasingkan di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette