Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, beliau sebaliknya berpegang kepada konsep
Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, beliau sebaliknya berpegang kepada konsep "orang Malaysia" tidak mengira latar belakang kaum Melayu, India, Cina atau etnik lain.

KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang terkenal dengan kehandalan perbahasan dan mungkin juga kenyataan kontroversinya menafikan diri seorang pemimpin yang anti-Melayu.

Dalam wawancara bersama Sinchew Daily, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, beliau sebaliknya berpegang kepada konsep “orang Malaysia” tidak mengira latar belakang kaum Melayu, India, Cina atau etnik lain.

Beliau berkata, sesetengah orang mungkin tersalah faham dengan ceramah politiknya dan menganggap kandungannya keterlaluan.

Katanya, sebagai penceramah yang berjaya, seseorang itu harus menggunakan bahasa yang paling mudah difahami tetapi berimpak supaya isi ceramah dapat melekat pada otak pendengar.

“Pendengarnya bukanlah orang kenamaan dalam Parlimen, bangsawan atau kerabat diraja, tetapi mereka ialah orang biasa di kaki lima.

” Jika saya berceramah di kampung baru, saya kena menggunakan bahasa penduduk kampung. Jika saya hanya berceramah semata-mata mahu menunjukkan kepandaian, maka saya cuma syok sendiri,” katanya.

Kor Ming berkata, beliau bagaimanapun akan menggunakan “bahasa” berlainan apabila berbahas di dalam Parlimen.

“Saya mampu menguasai satu hal iaitu menggunakan gaya bahasa yang berlainan mengikut suasana,” katanya.

Kor Ming yang terkenal dengan kepedasan lidahnya berkata, walaupun masih boleh berceramah di pelbagai tempat selepas dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, tetapi keadaannya sudah berbeza kerana terdapat kekangan.

Kor Ming bagaimanapun berkata, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan menunjukkan prestasi teruk, maka beliau sanggup meletak jawatan untuk menebus semula “kebebasan bersuaranya”. – MalaysiaGazette