Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.
Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen yang telah di beri mandat serta oleh rakyat perlu menghormati  Dewan Rakyat dengan menghadiri sesi perbahasan walaupun sibuk dengan tugasan lain.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, kehadiran wakil rakyat ketika berlangsungnya sesi kali ini sangat mengecewakan.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datok itu, institusi parlimen dan jawatan perdana menteri perlu dihormati oleh semua anggota dewan.

“Saya fikir biar pun kita di pihak kerajaan atau pembangkang, kehadiran di parlimen terutamanya di dalam sesi-sesi perbahasan harus diberikan keutamaan dan saya tidak memihak dalam hal ini.

“Sebab saya dan rakan-rakan pernah berada dalam kerajaan, institusi parlimen harus dihormati biar sesibuk mana pun untuk menghormati seorang Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri yang mengambil peduli untuk menjawab soalan pertama.

“Ini bukan setakat sokongan moral malah bersatu padu bukan hanya dikalangan jemaah menteri tetapi oleh seluruh anggota pentadbiran,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen ketika mengulas kehaidran wakil rakyat terutamanya dalam kalangan wakil dari kerajaan PH yang berkurangan ketika sesi perbahasan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin dalam laman sosial Twitternya berkata, loceng Parlimen sudah dibunyikan dua kali namun kelibat wakil rakyat tidak cukup untuk memulakan perbahasan.

Mas

“Loceng Parlimen dah dibunyikan kali kedua. Tak cukup kuorum untuk mula sidang. Tak boleh mula bahas. Mana MP semua?,” soalnya.

Perkara yang sama turut ditegur Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan kehadiran anggota Kabinet dan timbalan mereka di Dewan Rakyat.

Malah Mahathir berkata, meskipun telah berusia 93 tahun beliau sebolehnya mahu bekerja 36 jam sehari jika mampu.

Isu kehadiran anggota parlimen sebelum ini dibangkitkan wakil rakyat BN apabila kesemua menteri dan timbalan menteri tidak hadir pada Rabu lalu kerana menghadiri mesyuarat kabinet.

Susulan itu, mesyuarat kabinet diubah kepada hari Jumaat. – Malaysia Gazette