Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2018
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong berkata pembangkang membuat dakwaan tidak benar mengenai sidang Dewan Rakyat semalam yang terpaksa ditangguhkan.

Menurut beliau, kiraan semula yang dibuat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mendapati terdapat 35 Ahli Parlimen kerajaan telah berada di dewan.

“Ahli Parlimen Kapit (Datuk Alexander Nanta Linggi) bangun bangkitkan sama ada mesyuarat cukup korum. Kiraan ada 15 orang. Speaker arah loceng dibunyikan dua minit. Tamat loceng, kiraan semula pada jam 2.36 dah cukup korum 35 Ahli Parlimen di mana 4 hingga 6 minit Ahli Parlimen sudah datang balik ke dewan.

“Tiada isu mesyuarat Dewan Rakyat terhenti, hanya kira-kira 6 minit saja (lewat tiba), saya dimaklumkan Timbalan Menteri saya lewat sikit tapi tiba di dewan 2.40 minit,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Media semalam melaporkan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan selama 10 minit kerana tidak cukup korum.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad tidak berpuashati dengan tahap kehadiran Menteri dan Timbalan Menteri di Parlimen.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak bercadang menetapkan indeks prestasi utama (KPI) untuk mengukur prestasi menteri dan timbalan menteri menjalankan tugas di Parlimen.

Ditanya mengenai kenyataan bekas veteran UMNO, Tan Sri Rais Yatim yang mahu elaun Ahli Parlimen yang lewat dan ponteng sesi Dewan Rakyat dipotong, jelas Liew cadangan itu tidak pernah dibincangkan.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan Ahli Parlimen dan barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH) masih baru dan mungkin tidak memahami lagi prosedur Dewan Rakyat.

“Ini masih awal kerana ramai Ahli Parlimen baru mungkin tidak tahu kepentingan apabila loceng berbunyi kali kedua.

“Kita akan berbincang di mesyuarat Kabinet nanti sebelah petang dan saya akan dapat arahan seterusnya daripada Perdana Memteri,” ujar beliau. -MalaysiaGazette