Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuju ke Mahkamah Tinggi 3 bagi pertuduhan baharu di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFA) 2001 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi 3 di sini hari atas tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram melibatkan RM42 juta ke dalam akaun miliknya.

Bekas Perdana Menteri itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Pertuduhan terhadap beliau dibacakan semula sejurus selepas kes terhadapnya dipindahkan dari Mahkamah Tinggi 1.

Turut dibaca semula, pertuduhan pindaan yang melibatkan tiga kes pecah dan satu kes salah kuasa yang didakwa sebelum ini.

MGF08082018_NAJIB MAHKAMAH19
Barisan peguam bela yang diketuai Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah (tengah) yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 OGOS 2018.

Sebelum ini, ketika di Mahkamah Sesyen, pertuduhan hanya dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Azura Alwi tanpa sebarang pengakuan direkodkan.

Sementara itu, Hakim Mohd. Nazlan memutuskan Najib diikat jamin RM1 juta yang menggunapakai empat pertuduhan sebelum ini.

Beliau memerintah pendengaran permohonan pembelaan kes gag order (perintah larangan) ke atas media disebut Jumaat ini terlebih dahulu sebelum tarikh perbicaraan kesemua tujuh pertuduhan ditetapkan.

Ini kerana peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah telah mengemukakan permohonan bertulis lebih awal dan tidak mendapat bantahan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup.

Permohonan perintah larangan itu bagi menerbitkan komen berkenaan merit berkaitan pertuduhan yang dihadapi oleh Najib berkaitan empat kes sebelum ini.

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn. Bhd berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette