Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

SAYA sangat terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong di Parlimen hari ini, Amerika Syarikat (AS) telah menyerahkan kapal layar Equanimity yang kononnya dibeli Jho Low menggunakan duit dicuri dari 1MDB kepada Malaysia.

Adakah kapal itu milik Amerika? Ianya mahu dirampas Jabatan Kehakiman AS (DOJ) untuk satu saman sivil yang belum dibicarakan. Kalau bicarapun belum, jatuh hukumpun belum, bukti kapal itu dibeli guna duit 1MDB pun tiada, macamana boleh jadi hak AS untuk diserah kepada Malaysia?

Adakah kebenaran yang diberikan AS untuk Equanimity diserahkan kepada kerajaan Malaysia sebahagian dari konspirasi antara pihak tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) dengan Amerika, sebagaimana disahkan oleh IRI untuk menghapuskan bahan bukti supaya prosiding saman sivil ke atas Reza Aziz, Jho Low, Khadim al Khubaishi dan Muhammad Badawi dibatalkan.

Sebanyak 17 aset empat individu ini mahu dirampas atas tuduhan ianya dibeli menggunakan duit yang dicuri dari 1MDB.

Kalau barang yang hendak dirampas sudah tiada, contohnya, kapal layar Equanimity diserah kepada Malaysia, jet peribadi yang ditahan oleh pihak berkuasa Singapura juga mahu diserahkan kepada Malaysia, maka kalau semua bahan yang hendak dirampas sudah tiada, prosing apa yang DOJ hendak lakukan?

Bagaimana rakyat Malaysia hendak tahu bahawa tuduhan PH dan DOJ bahawa harta itu dibeli menggunakan duit 1MDB adalah benar atau hanya satu fitnah untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN)?

Kenapa selepas 97 hari PH memerintah, Peguam Negara masih gagal mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas tuduhan mencuri duit 1MDB?

Bukankah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull cukup ghairah membekukan akaun sesiapa sahaja yang kononnya pernah menerima sumbangan daripada Najib hasil duit yang dicuri dari 1MDB? Adakah tuduhan itu sebenarnya satu fitnah.

Mungkin sekarang baru rakyat akan faham kenapa pada Mac lalu pembicaraan akta kleptokrasi empat individu berkenaan ditunda pada September ini, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Rupa-rupanya, menjelang September, bahan buktipun silap-silap sudah dilelong dan perbicaraan kes saman sivil DOJ ke atas Jho Low, Reza Aziz, Khadim Al Khubaishi dan Mohamad Badawipun belum tentu akan berjalan.

Kalau perbicaraan tersebut berjalan dan empat individu berkenaan akhirnya dapat membuktikan harta tersebut dibeli menggunakan wang yang diperoleh secara sah tanpa mencuri dari 1MDB, adakah kita boleh mengubah keputusan  PRU 14?

Sudah pasti tidak! Mungkin kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rakyat Malaysia ramai yang “uneducated” adalah benar.

Mungkin apa yang beliau maksudkan, walaupun yang menyokong PH ini kebanyakannya golongan profesional seperti doktor, jurutera, peguam, pensyarah dan sebagainya, mereka tidak pernah berfikir sama ada fitnah yang dilontar PH benar atau tidak.

– Penulis adalah Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan, UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast