KUALA LUMPUR – Akaun semasa negara dijangka mencatatkan lebihan sebanyak RM39.6 bilion pada tahun ini, 1.74 peratus lebih rendah berbanding RM40.3 bilion pada tahun lalu.

Akaun itu merupakan petunjuk penting yang merangkumi perdagangan dan pelaburan.

MIDF Research berkata, jangkaan itu berdasarkan sokongan kuat daripada permintaan kukuh eksport, keyakinan teguh pasaran dan aktiviti pelancongan yang baik.

Dalam nota penyelidikannya, MIDF Research berkata, keyakinan itu bersandarkan daripada permintaan global yang positif dan pemulihan harga komoditi.

Bagi suku kedua 2018, akaun semasa negara merosot dengan ketara kepada dua tahun rendah iaitu RM3.9 bilion berbanding RM15 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Ia adalah lebihan paling rendah sejak suku ketiga 2016.

“Kejatuhan ini didorong oleh defisit akaun perkhidmatan berterusan kepada RM6.2 bilion berbanding RM5.8 bilion pada suku pertama tahun ini, selain lebihan akaun barangan yang merosot kepada RM26.1 bilion berbanding RM35.7 bilion.

“Penurunan dalam lebihan ini disebabkan lebihan perdagangan sederhana sebanyak AS$27.2 bilion pada suku kedua tahun ini, lebih rendah daripada RM33.4 bilion pada suku pertama yang lalu,” kata firma penyelidikan itu.

Di samping itu, purata pertumbuhan import sebanyak 8.1 peratus pada tahun kedua, tidak jauh berbeza dengan eksport 8.4 peratus tahun ke tahun.

Namun, Malaysia masih berada dalam kedudukan sebagai penghutang luaran bersih yang dibina daripada rekod lebihan akaun semasa,” kata MIDFResearch .

Lebihan akaun semasa yang lemah juga disumbangkan oleh kemerosotan dalam pendapatan utama yang menunjukkan defisitnya berkembang kepada RM11.2 bilion pada suku kedua 2018 berbanding RM10.2 bilion pada suku sebelumnya.

Defisit lebih besar dalam pendapatan utama dipacu oleh pembayaran dividen yang lebih tinggi kepada pelaburan asing, selain defisit pampasan pekerja lebih tinggi kepada RM1.8 bilion berbanding RM1.6 bilion pada suku pertama tahun ini.

Manakala defisit pendapatan sekunder kekal pada RM4.7 bilion pada suku kedua 2018.

MIDF Research berkata, aliran keluar besar disebabkan oleh jualan bersih asing sekuriti hutang Malaysia berjumlah RM29.2 bilion pada suku kedua yang lalu berbanding aliran masuk RM900 juta pada suku sebelumnya.

Manakala pelaburan langsung asing ke negara ini merosot kepada RM2.8 bilion suku kedua 2018 berbanding RM12 bilion pada suku sebelumnya.

“Penurunan itu adalah yang paling teruk sejak suku keempat 2009. Prestasi lemah berikutan imbangan pembayaran keseluruhan prestasi, berikutan kemerosotan sentimen dalam pasaran ekuiti, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast