KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memainkan peranannya dengan baik selaras matlamat penubuhan universiti itu hampir lima dekad lalu, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Kata beliau, hasil kecemerlangan itu, UPM diiktiraf oleh QS World Ranking dan telah mengekalkan kedudukan 100 universiti terbaik dunia dalam subjek Pertanian dan Perhutanan selama enam tahun berturut-turut.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda Amanah menyambut baik hasrat dan keprihatinan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengembalikan sektor pertanian sebagai fokus utama pengajian di UPM.
“Kita mengalu-alukan keprihatinan dan hasrat menteri dalam meningkatkan tenaga kerja mahir dan hasil penyelidikan berkualiti tinggi dalam bidang pertanian.
“Ini selaras dengan subjek Sains Pertanian UPM yang disenaraikan pada kedudukan ke-42 dunia dan ke-7 di Asia dalam Best Global Universities Ranking 2016/2017,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, walaupun UPM telah banyak menyumbangkan jasa kepada bidang pertanian tempatan, masih terdapat ruang untuk menambah baik fungsi universiti itu sebagai institusi pertanian terkemuka negara.
Katanya, kementerian perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menganalisa sama ada kos penyelidikan pertanian di UPM dalam tempoh 10 tahun yang lalu telah berjaya mewujudkan hasil atau pengeluaran bersesuaian.
“Kita harus mengenalpasti sama ada setiap kajian pertanian di UPM mempunyai kesan pengganda yang tinggi dari segi kewangan ataupun aspek sosial.
“Misalnya, untuk setiap RM1 yang dibelanjakan ke atas penyelidikan pertanian, pengeluarannya seharusnya melebihi RM1. Untuk masa akan datang, UPM dicadangkan untuk menumpukan usahanya dalam penyelidikan yang mempunyai potensi kesan pengganda yang tinggi,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, kementerian juga perlu mengenalpasti peratusan kajian berasaskan pertanian di UPM yang telah berjaya dikomersialkan dalam tempoh 10 tahun yang lalu.
Ini kerana, katanya, kadar pengkomersialan hasil kajian di Malaysia masih rendah ketika ini dan kerajaan harus mencari langkah penyelesaian untuk situasi ini dan perlu memastikan pihak UPM berjaya mengkomersialkan kajian mereka di pasaran tempatan mahupun global.
Beliau juga berkata, penyelidikan di UPM dan fakulti pertanian di universiti awam yang lain juga harus memberi fokus yang lebih kepada teknologi pertanian masa hadapan iaitu “Pertanian Pintar”.
“Penyelidikan berasaskan pertanian perlu mencari jalan untuk memudahkan dan mengurangkan kos penggunaan teknologi sensor, Internet of Things (IOT), Big Data dan sebagainya di tanah pertanian,” katanya.
Jelas beliau lagi, UPM juga boleh melihat pendekatan universiti pertanian terkemuka dunia dan seterusnya mengaplikasikannya di sini mengikut acuan sendiri.
Katanya, hubungan dagangan ke China perlu diperluaskan kepada penukaran teknologi termasuk ilmu dan latihan supaya industri pertanian negara dapat dipertingkatkan selaras dengan rejuvenasi UPM untuk menjadi 10 universiti pertanian terbaik dunia. – MalaysiaGazette