BANGI – MCA dan calonnya, Tan Chee Teong diberi tempoh 24 jam oleh DAP untuk meminta maaf terhadap dakwaan merosakkan bahan kempen MCA.
Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, tindakan undang-undang yang tegas akan menyusul ke atas MCA serta calon Pilihan Raya Kecil Balakong itu jika mereka gagal memohon maaf mengikut tempoh seperti yang ditetapkan itu.
“Dia dalam laman Facebook peribadinya telah melemparkan satu fitnah yang tidak berasas yang mana mendakwa DAP merosakkan banting kempen mereka di kawasan Balakong pada 25 Ogos lalu.
“Tetapi dia gagal membuktikan dakwaan itu dengan penjelasan dan bukti kukuh terhadap fitnah itu dan terus mengunci mulut sehingga sekarang tanpa rasa bersalah.
“Lebih menyedihkan partinya, MCA juga tidak memberi sebarang penjelasan terhadap fitnah tak berasas itu. Maka kami memberikan masa 24 jam kepada Chee Teong serta MCA untuk meminta maaf, kami akan merujuk dengan penasihat undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas mereka jika gagal mengakui kesilapan mereka,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Pakatan Harapan Kempen PRK Balakong di sini.
Katanya, Chee Teong harus bersikap ‘gentlemen’ dan mengakui kesilapan.
“Saya tidak pasti sama ada apa yang dibuat itu secara sengaja atau terlepas pandang, tapi kalau salah mengaku sahaja kesilapan dan minta maaf demi kebaikan semua,” ujarnya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah calon PH Balakong, Wong Siew Ki dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
Dalam pada itu, Lip Eng berkata, pemimpin DAP dan penyokongnya tidak ada sebarang urusan atau rasa tidak puas hati sehingga melakukan sabotaj atau merosakkan terhadap barangan kempen calon lawan.
Jelas beliau, parti dan ahlinya bertamadun sepanjang menjadi pembangkang selama 50 tahun sebelum membentuk kerjaaan baharu.
“Saya sangat marah dan kesal dengan tindakan MCA dan calonnya yang sanggup melemparkan tuduhan sebegitu tanpa bukti kukuh.
“Ia jelas satu tindakan merosakkan imej dan kreadibiliti DAP dan kerajaan memerintah.
Dakwaan tersebut dipercayai dibuat melalui Facebook Chee Teong yang menyatakan: “Saya (Tan) akan mengadakan sidang media berhubung kerosakan bahan kempen MCA oleh DAP’, namun kiriman tersebut disunting sebelum Siew Ki sempat mengambil ‘screenshot’ untuk dijadikan bukti.
Chee Teong didakwa membuat sidang media dan siaran langsung dalam laman Facebooknya pada puklul 1.46 petang 25 Ogos lalu. – MalaysiaGazette