BANGI – Kerajaan akan berusaha untuk mengurangkan tol secara berperingkat menerusi proses rundingan bersama syarikat konsesi tol lebuh raya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, apa yang perlu dilakukan ialah mencapai situasi menang-menang bersama syarikat-syarikat konsesi terlebih dahulu sebelum mengurangkan tol secara berperingkat.
Katanya ia adalah perubahan secara berstruktur dan berperingkat dan tidak boleh dilakukan secara tergopoh gapah.
“Sewaktu jadi pembangkang kita yang mengemukakan hal ini untuk dilaksanakan selepas jadi kerajaan, tapi sekarang banyak masalah kewangan negara dengan hutang banyak ditinggalkan kerajaan terdahulu.
“Sudah tentu kita akan mengurangkan tetapi kena runding dengan konsesi tol supaya tidak ada kenaikan mengikut perjanjian yang dicapai dahulu semasa pembinaan lebuh raya.
“Kita akan runding secara berterusan secara ‘win win’ antara kita dan pemegang konsesi dengan memastikan tol boleh dikurangkan dan paling cantik ditiadakan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai kempen calon PH Wong Siew Ki di Bandar Tun Hussein Onn dekat sini.
Tambahnya pertemuan bersiri dan rundingan diteruskan dengan syarikat konsesi di Lembah Klang sejak bulan pertama menang Pilihan Raya Umum ke-14.
Katanya, jumlah jalan raya bertol di Lembah Klang banyak dan ribuan pekerja mereka yang ditanggung konsesi tol juga perlu diambil kira.
Jelas beliau, ada yang mungkin akan ditutup dan ada yang tidak tetapi kerajaan akan memastikan tol tidak dinaikkan setiap tiga tahun walaupun difahamkan konsesi perlu menaikkanya untuk kerja menaiktaraf lebuh raya.
Malah katanya, semua pihak termasuk konsesi tol sejak awal rundingan bersetuju mencapai situasi win win jika tol dikurangkan, mereka perlu menerima pampasan.
“Mereka juga sedar kerajaan boleh membatalkannya dan membayar pampasan tetapi rakyat perlu sedar kerajaan akan berdepan tuntutan banyak dari mereka di mahkamah dengan mengambil kira kepentingan pekerja dan segala kebajikan mereka yang mana ada setengah konsesi mereka belum capai modal yang dilaburkan.
“Maka atas dasar itulah kita sentiasa cuba melakukan segala rancangan pengurangan tol secara berperingkat dengan situasi menang untuk kedua dua pihak.
“Dalam perkara ini saya harap rakyat tidak seharusnya fikirkan bahawa kita PH sengaja tidak mahu buat dan cuba menipu..itu tak benar, ia tidak boleh dilakukan dalam sekelip mata.
“Kita perlu fikirkan pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara untuk jangka panjang….ia tak bererti berdolah dalih melaksanakannya,” ujar beliau