KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dengan lantang meminta setiap pemimpin dan ahli dalam parti tersebut supaya sentiasa menghormati golongan minoriti khasnya masyarakat India.

Jelas Rafizi, jangan sesekali bertindak memperkecilkan golongan yang tinggal atau datang dari ‘estet’ pada bila-bila masa.

Malaysiakini melaporkan, Rafizi berkata demikian ketika berucap pada majlis PKR di Petaling Jaya yang rata-ratanya dihadiri oleh pemimpin serta ahli parti kaum India sebentar tadi.

“Apa masa depan politik orang India? Masa depan itu ada pada parti yang pelbagai kaum, tapi kita harus memilih pemimpin tertinggi dari kalangan Melayu, Cina, India yang sayang pada golongan minoriti, yang sayang orang miskin, dan tidak akan perkecil orang India yang datang dari estet,” tegasnya.

Ucapan berapi-api itu juga mendapat tepukan serta siulan daripada para hadirin yang cukup terpukau dengan kenyataan Rafizi itu.

Walaupun secara terbuka Rafizi yang merupakan mantan Ahli Parlimen Pandan tidak menyebut mana-mana pemimpin ketika mengeluarkan kenyataan itu, namun umum mengetahui ianya ditujukan kepada penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam kenyataannya pada 2 Sept lalu, Azmin menggunakan perkataan “estet” sebagai menjawab kritikan pihak yang mempersoalkan kesetiaannya terhadap perjuangan parti.

“Ada budak kecil umur dua tiga tahun nak mempertikaikan saya terhadap perjuangan kesetiaan saya. Saya sabar, saya tidak pun serang mana-mana individu sehingga orang kata Mohamed Azmin kamu terlalu diam.

“Orang ini sekarang nak cakap (tentang) Reformasi. Mereka dulu duduk di tempat-tempat mewah, bila dah selesai dah reda baru balik.

“Tiba-tiba pula datang daripada estet mana, belukar mana, (dan kata) Azmin kena buktikan kesetiaan kepada parti,” kata Azmin baru-baru ini. 

Azmin yang juga merupakan Menteri Hal Eh­wal Ekonomi itu menyeru semua pi­hak supaya tidak meme­cahkan perpaduan yang cukup utuh dalam PKR.

Beliau yang akan mempertahankan jawatan timbalan pre­siden pada pemilihan PKR tahun ini juga percaya anggota parti akan memilih pemimpin yang telah diuji dan teruji dalam usaha memperkukuhkan lagi parti berbanding sebelum ini.

“Dengan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya lama de­ngan beliau, 14 tahun bermula di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan sehingga ke Jabatan Perdana Menteri, saya yakin gabu­ngan ini akan dapat ang­kat martabat anggota PKR dan memperkukuh kerajaan,” katanya

Azmin dan Rafizi dijangka akan merebut jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti nanti namun ‘perang’ sudah bermula dalam kalangan dua kem itu ketika ini.

Dalam pada itu, Rafizi turut mendedahkan dirinya sudah mula melobi kepada pimpinan parti memperkasa pemimpin India untuk diketengahkan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Jelas Rafizi, dia melakukan hal itu bukan untuk mendapat sokongan kaum India kerana dia sudah ‘sebelah kaki di penjara’ susulan dakwaan kes jenayah terhadapnya ketika itu.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast