ALOR SETAR – Polis sedang mengesan dua lelaki yang melakukan dua kes samun dalam tempoh selang 15 minit di sebuah kedai dobi layan diri dan kedai runcit 24 jam di Sungai Petani, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Sazalee Adam berkata dalam kejadian pertama kira kira pukul 7 pagi semalam, seorang wanita berusia 37 tahun kerugian RM10,000 selepas disamun dua lelaki berkenaan di kedai dobi layan diri 24 jam di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, semalam.

“Ketika kejadian wanita terbabit berada berseorangan di dalam kedai sebelum seorang lelaki masuk dan bertanyakan tentang bajunya yang hilang sebelum mendekati mangsa dan cuba merampas beg tangan. Suspek yang terkejut cuba menarik beg tangannya namun terpaksa menyerahkan selepas diacukan parang oleh suspek.

“Pada masa itu, seorang lagi rakan suspek masuk ke kedai dan menarik barang kemas dileher, tangan dan jari mangsa serta merampas kunci kereta jenis Pesona milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang mengalami kerugian berjumlah RM10,000 itu telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.- BERNAMA