Dua kereta rosak dan struktur sebuah hotel terjejas akibat Taufan Michael yang melanda Florida. foto NBC News

FLORIDA – Taufan Michael yang melanda Florida meninggalkan “kemusnahan yang tidak dapat dibayangkan”.

“Kehidupan telah berubah. Begitu ramai keluarga telah kehilangan segala-galanya, kata gabenor negeri itu, Rick Scott.

Kawasan yang paling teruk dilanda bencana alam itu ialah pantai barat laut Florida – yang menyaksikan rumah-rumah musnah, pokok-pokok dan tiang-tiang elektrik tumbang.

Taufan Michael membawa angin selaju 250 kilometer sejam ke Florida.

Bencana itu mengorbankan enam nyawa.

Kawasan yang terjejas ialah di pantai Panhandle Florida berhampiran bandar Mexico Beach

Lebih 370,000 orang di Florida telah dipindahkan.

Meskipun begitu, pihak menyelamat berkata, masih ada penduduk yang enggan berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Ribut itu dijangka semakin lemah ketika ia bergerak ke pedalaman ke arah timur laut.

Gabenor Scott berkata, Pengawal Pantai Amerika Syarikat melakukan 10 misi dalam satu malam bagi menyelamatkan sekurang-kurangnya 27 orang. – MalaysiaGazette