KUALA LUMPUR – TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) and Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) bagi program tenaga hijau di sepanjang Lebuhraya Senai-Desaru di Johor.
Di bawah MoU tersebut, syarikat-syarikat akan meneroka potensi projek lebuhraya hijau yang akan dilaksanakan di sepanjang laluan sejauh 77 kilometer itu.
Projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada pengguna lebuhraya serta masyarakat sekitar menerusi infrastruktur dan ekosistem tenaga diperbaharui (RE) moden dan penjimatan penggunaan tenaga (EE).
Tiga pihak itu akan bekerjasama menyokong Indeks Lebuhraya Hijau Malaysia (MyGHI) di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari dengan menggabungkan pengangkutan dengan kemampanan ekologi dalam rekaan, perancangan, pembinaan dan penyelenggaraan lebuhraya.
Ia akan menggunakan kepakaran TNBES terutama dalam penyelesaian RE dan EE untuk lampu-lampu LED, pemasangan penyaman udara cekap tenaga serta panel solar selain menyepadukan sistem pemantauan bangunan TNBES yang dikenali sebagai Making Electricity Visible (Maevi).
Ini termasuk memasang, mengendali dan menyelenggara sebuah stesen pengecas kenderaan elektrik di lokasi-lokasi terpilih.
MoU ditandatangani Pengarah Urusan TNBES, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd Hamid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEB, Jamal Abd Nasir Taharim. -MalaysiaGazette