Rafizi yang hadir menyaksikan proses pengundian di Cabang Keningau didakwa dipukul.
Rafizi yang hadir menyaksikan proses pengundian di Cabang Keningau didakwa dipukul.

KUALA LUMPUR – Baki 13 cabang PKR di Sabah melalui fasa kedua pemilihan hari ini, melibatkan kira-kira 150,000 ahli.

Cabang itu ialah Penampang, Kudat, Kota Belud, Putatan, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Pensiangan, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar.

Manakala semalam, 12 cabang sudah selesai melalui proses pengundian melibatkan Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tua­ran, Sepanggar, Beaufort, Sipitang, Ke­ningau, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan.

Sementara itu, satu cabang, iaitu Keningau berdepan masalah teknikal apabila Dewan Pekan Kampung Merapong yang dijadikan pusat mengundi tidak mempunyai talian telefon dan internet.

Bagaimanapun, ia mengambil masa untuk membuat pengiraan undi setelah pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memutuskan proses pengundian diadakan secara manual dan keputusan dijangka diumumkan petang ini.

Dalam pemilihan semalam juga, berlaku kekecohan apabila calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa dipukul seorang lelaki ketika beliau hadir di pusat pengundian di Keningau.

Beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Keningau dan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti suspek terbabit. – MalaysiaGazette