Pelancong yang berparti dan minum arak di Barocay akan didakwa
Pelancong yang berparti dan minum arak di Barocay akan didakwa

MANILA – Pelancong-pelancong yang ingkar dengan larangan untuk berparti dan minum minuman keras di pantai Barocay perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Malacanang sebelum ini mengeluarkan amaran susulan laporan terdapat pelancong dan pengusaha perniagaan yang melanggar peraturan yang diwujudkan bagi melindungi alam semulajadi di pulau peranginan tersebut.

“Sekiranya benar, mereka akan didakwa,” tegas jurucakap Presiden, Salvador Panelo dalam satu taklimat media, semalam.

Panelo bagaimanapun berkata, beliau tidak melihat atau mendengar sebarang pelanggaran peraturan berlaku semasa beliau berada di Boracay baru-baru ini.

Setiausaha Pelancongan, Bernadette Romulo-Puyat sebelum itu berkata, beliau ada menerima laporan yang mengatakan terdapat segelintir pelancong dan pengusaha perniagaan yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh Petugas Khas Antara Agensi Boracay.

Jelasnya, sebelum memasuki pulau tersebut, para pelancong dikehendaki untuk bersumpah untuk mematuhi peraturan dan undang-undang melindungi keindahan semulajadi pulau tersebut.

Meminum arak dan merokok di kawasan awam, berparti di luar kawasan yang telah ditetapkan serta membina istana pasir adalah dilarang sama sekali.

Lampu minyak tanah dan unggun api turut diharamkan di kawasan pantai.- MalaysiaGazette