Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Kes rogol dan bunuh bayi 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara tidak akan didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak, sebaliknya ia dilakukan di bawah undang-undang mahkamah sivil.

Berikut jawapan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin kerana walaupun mangsa di bawah kategori kanak-kanak namun kes itu diklasifikasikan sebagai jenayah bunuh.

“Kes ini sebenarnya disifatkan sebagai jenayah membunuh, maka tiada keperluan untuk membawa ke Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

“Nama pun kes kematian bukannya jenayah seksual kanak-kanak. Kita mungkin akan hadapi masalah jika membawa kes ini di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

“Saya tidak nampak keperluan untuk membawa kes ini ke Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak walaupun hakikatnya mangsa seorang kanak-kanak tetapi lebih kepada jenayah pembunuhan yang sepatutnya didakwa di bawah mahkamah biasa,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Pengerang (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mahu penjelasan adakah kerajaan akan mewujudkan tuduhan tambahan di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak terhadap tertuduh kes Zara supaya boleh dibawa dan dituduh di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

Pasangan suami isteri ditahan selepas Zara meninggal dunia pada 9 November lalu setelah dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami penga­suhnya yang merupakan tukang gunting.

Hasil bedah siasat di Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah impak tumpul pada kepala menyebabkan tempurung kepalanya pecah dan terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri serta kanan malahan terdapat kesan koyakan baharu pada selaput dara dan dubur mangsa dipercayai akibat penderaan seksual.

Pada 10 November lalu, menurut kenyataan pihak polis, sepanjang tempoh ibu mangsa menghantar anaknya di bawah jagaan pengasuh, Zara dijaga sepenuh masa oleh tertuduh yang didapati positif methamphetamine.

Terdahulu Azalina,turut mohon penjelasan perkembangan berkaitan dengan perluasan Mahkamah Jenayah Seksual terhadap Kanak-Kanak secara berperingkat ke seluruh negara dalam usaha menyelesai dan melupuskan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan adil dan cepat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast