Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Jika penubuhan anak syarikat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang bermasalah, kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya mencari jalan penyelesaian dan bukannya mengambil jalan mudah menutup agensi yang telah membantu rakyat miskin.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, tindakan membatalkan sijil pemerbadanan AIM adalah tidak wajar dan memberi kesan kepada golongan usahawan wanita mikro yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, sejak diwujudkan pada 1987, AIM telah berjaya membantu menangani isu isi rumah termiskin khususnya di kalangan wanita.

Selama penubuhannya, AIM ternyata berjaya meninggalkan legasi yang cukup bermakna buat hampir 377,000 orang wanita yang telah bernaung di bawah agensi itu melalui saluran pinjaman mikro hingga berjaya mengubah taraf kehidupan masing-masing.

“Wanita UMNO kesal dengan hasrat kerajaan yang mahu membubarkan AIM sedangkan skim kredit mikro agensi ini disifatkan sebagai pelengkap kepada program pembasmian kemiskinan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bahkan, tambahnya, AIM telah merekodkan kadar bayaran balik membanggakan apabila lebih 98.26 peratus daripada lebih kurang 377,000 peminjam melunaskan pinjaman sejak skim pembiayaan kredit mikro itu diperkenalkan 31 tahun lalu.

AIM telah mengeluarkan pinjaman keseluruhan berjumlah RM20.23 bilion kepada kumpulan sasar sejak skim itu dimulakan pada 1987 hingga Jun 2018.

Dari segi pembayaran balik, kita berada pada tahap baik iaitu kira-kira 98.26 peratus, sekali gus menunjukkan peminjam yang mana majoritinya adalah wanita komited membuat bayaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast