KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ngo Kor Ming melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan sikap yang ditonjolkan oleh Ahli Parlimen dalam kalangan pembangkang hari ini.
Menurut Kor Ming, hanya dua sahaja wakil rakyat dalam kalangan pembangkang tinggal ketika dewan sedang berbahas bagi meluluskan 11 rang undang-undang kali ini.
“Saya sebagai Speaker ingin melahirkan rasa kesal apabila saya lihat hari ini seharusnya meluluskan 11 Rang Undang-Undang (RUU) tetapi blok pembangkang kosong kecuali Rantau Panjang dan Pasir Mas.
“Sikap ini amat tidak bertanggungjawab, saya berharap perkara ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” katanya ketika pembentangan bacaan kali kedua Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebentar tadi.
Petang tadi, Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) bertindak keluar Dewan Rakyat selepas tidak berpuas hati dua wakil rakyatnya digantung oleh Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon.
Rashid sebelum itu mengarah keluar dua Ahli Parlimen, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan) kerana mengganggu sesi pergulungan Rang Undang-Undang Kewangan 2018 hampir 20 minit. –MalaysiaGazette