Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Isu pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus menjadi isu berpanjangan apabila ramai lagi terutama dalam kalangan akar umbi secara terang-terangan melahirkan rasa tidak gembira dengan cara ia dilakukan.

Malah sejak awal pemilihan, pelbagai insiden serta dakwaan termasuk politik wang terus mencalari kedudukan PKR sebagai sebuah parti yang mendukung reformasi dan menolak segala macam kepincangan termasuk rasuah serta salahguna kuasa.

Semalam, peguam merangkap bekas pemimpin pusat, Latheefa Koya secara lantang menyoal pelantikan MPN yang disifatkan lebih menguntungkan satu pihak sahaja, berpuak-puak serta wujudnya unsur nepotisme.

Sejurus selepas itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Kassim telah meletakan jawatan sebagai Pengerusi Negeri Pulau Pinang dan Johor berkuatkuasa serta merta.

Hari ini, MalaysiaGazette telah dihubungi oleh seorang ahli PKR yang menggesa kepimpinan tertinggi PKR untuk menukar pelantikan Pengerusi Negeri Selangor, Amirudin Shari kepada Zuraida Kamaruddin yang juga merupakan Naib Pengerusi PKR.

Lim Lai Seng yang merupakan ahli PKR dari Kuala Selangor mendedahkan, Zuraida jauh lebih layak diberikan kepercayaan tersebut kerana sokongan majoriti dengan 70 peratus cabang menyokongnya daripada 22 cabang.

Malah kata Lai Seng, sebelum ini, Zuraida merupakan antara yang paling banyak memberi sumbangan di Selangor apabila menjawat jawatan Naib Pengerusi PKR Selangor.

“Beliau bukan sahaja mempunyai sokongan majoriti malah akar umbi semuanya menyokong kepimpinan dan kelantangan serta ketelusan beliau dalam memimpin kita selama ini.

“Bukan PKR Selangor mempunyai sebarang isu dengan Menteri Besar tetapi pada pandangan rata-rata pihak, pelantikan ini tidak adil langsung. Mengapa yang mempunyai pengalaman luas serta sokongan majoriti tidak diberikan peluang untuk membawa hala tuju negeri Selangor?

“Ini tidak betul malah beberapa lantikan yang dibuat di beberapa negeri sebenarnya sangat tidak disenangi kerana mahu menangkan hanya sekelompok ‘puak’ dan ini tidak langsung adil kepada yang mendukung prinsip ketelusan dan reformasi parti keramat ini.

“Jika kita sendiri tidak ikut apa yang kita selama ini canang-canangkan, adakah ‘orang luar’ akan menghormati kita? Kita selama ini sangat hebat dalam mengkritik parti dan ahli politik di luar sana tentang salahguna kuasa tetapi apabila gagal amalkannya, bagaimana?

“Ingat, kebajikan itu bermula dari ‘rumah kita’ sendiri dan bukan sebaliknya, kita pandai tuding jari kepada yang lain sahaja. Apa yang ingin saya katakan, kami mahu Zuraida untuk memimpin kami di negeri ini,” katanya.

Lim Lai SengTambah Lai Seng, akar umbi juga mempunyai harapan yang tinggi menggunung terhadap kepimpinan Amirudin tetapi fokus utama beliau sepatutnya menerajui negeri Selangor secara keseluruhan.

“Kita suka dengan Amirudin. Beliau seorang yang baik dan juga seseorang yang popular juga antara pemimpin contoh di negeri ini. Tetapi lebih baik seandainya beliau menumpukan perhatiannya dalam menerajui Selangor sebagai Menteri Besar yang baharu. Banyak lagi yang perlu diberi fokus apatah lagi melibatkan keseluruhan rakyat.

“Tetapi jika parti, pimpinan yang kami perlukan ketika ini adalah Zuraida. Selepas Azmin Ali, beliau banyak menyumbang dan berpengalaman sebenarnya. Mengapa pandangan ini tidak di ambil kira,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengikut sumber tertinggi PKR, ada wujudnya sedikit ‘konspirasi’ dalam memastikan Zuraida tidak menjadi Pengerusi Negeri Selangor walaupun sejak awal lagi sudah ada jangkaan beliau akan memimpin negeri itu.

“Ada tangan ghaib yang tidak mahu beliau jadi Pengerusi Negeri walaupun ketika itu sokongan kuat dan luar biasa telah diberikan oleh cabang kepadanya.

“Itu adalah sokongan majoriti, kemudian ada ‘tangan ghaib’ ini menukar fikiran dan melantik Amirudin. Tidak ada masalah sebenarnya kerana Amirudin juga adalah orang sama kem tetapi sedih kerana di sini pun ada wujudnya ‘tangan ghaib’,” ujarnya.

PKR Selangor merupakan negeri paling teramai ahli yang kini sudah mencecah lebih 300,000 keahlian dan dianggap kubu kuat parti itu jika hendak dibandingkan dengan negeri-negeri lain seluruh negara. – MalaysiaGazette